Suhaizan Tak Rela PAS "Bercerai" Dengan PKR, DAP?

Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat meluahkan rasa khuatir sekiranya PAS "bercerai" dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam masa terdekat ekoran konflik dalaman gabungan tiga parti pembangkang itu.

Suhaizan dalam kenyataan terkini telah memberi amaran kepada semua pemimpin dan ahli PAS supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang mampu meretakkan lagi hubungan parti itu dengan dua rakan sekutunya, PKR dan DAP.

"Saya menasihatkan diri saya dan pimpinan PAS serta PR agar mengelakkan memulakan atau bertindakbalas terhadap kenyataan yang boleh meretakkan hubungan dalam PR," katanya yang dipetik dari laman rasmi PAS, Harakahdaily, semalam.

Ketua Pemuda PAS itu turut menyamakan hubungan PAS dengan dua rakan sekutunya itu ibarat "perkahwinan" di mana sekiranya partinya "bercerai" dengan DAP dan PKR maka perpisahan tersebut dimurkai Allah SWT.

"Seperti kenyataan "cerai" bagi pasangan suami isteri. Walaupun hukumnya harus tetapi Allah tidak suka perkara tersebut," katanya lagi.

Sebelum itu, Naib Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khiruddin menegaskan bahawa PAS sedia  keluar dari Pakatan Rakyat dalam masa terdekat ekoran penghinaan yang diterima parti Islam itu dari DAP dan PKR.

Suhaizan turut memberitahu bahawa pihaknya akan tegar memastikan PAS terus bersama DAP dan PKR sedaya upaya.

Ketua Pemuda PAS Pusat itu turut menjadi "bahan" kecaman para perwakilan Pemuda PAS dalam Muktamar PAS ke-60 yang berlangsung di Johor, beberapa hari sebelum hari pengundian Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor.

Para pemimpin tertinggi PKR dan DAP dikatakan tidak sudi menghadiri Muktamar PAS tersebut ekoran pergeseran yang berlaku di antara mereka dengan PAS berhubung krisis Menteri Besar Selangor.

Selain tidak menghadiri Muktamar PAS tersebut, pimpinan utama PKR dan DAP juga dikatakan memboikot PRK DUN Pengkalan Kubor yang menyaksikan kekalahan teruk PAS di sana, baru-baru ini. -KedahNews.com