Tindakan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) dan DAP yang enggan mengikuti titah Sultan Selangor, Sultan
Sharafuddin Idris Shah dalam mengemukakan nama lain selain Presiden PKR, Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akhirnya mendatangkan kemurkaan kepada baginda.
Kedua-dua parti komponen dalam
Pakatan Rakyat itu dilihat mencabar titah Sultan Selangor apabila menyerahkan
nama Wan Azizah sebagai calon tunggal menjawat jawatan Menteri Besar Selangor yang
baharu.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor,
Datuk Mohamad Munir Bani berkata, sehingga kini hanya PAS yang menyerahkan tiga
nama bagi jawatan tersebut menerusi surat bertarikh 27 Ogos.
"Manakala parti DAP dan PKR
masing-masing mengemukakan hanya satu nama yang sama iaitu Datuk Dr Wan Azizah.
"Sultan Selangor amat merasa
dukacita di atas tindakan DAP dan PKR yang ingkar terhadap baginda.
"Tindakan DAP dan PKR ini
menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan
derhaka kepada titah Sultan Selangor," katanya dipetik Mstar.
Mohamad Munir berkata, merujuk
kepada titah Sultan yang mahu Pakatan Rakyat mengemukan tiga nama sebagai calon
Menteri Besar merupakan amalan atau konvensi yang diamalkan baginda sejak dulu
lagi.
"Ini adalah bagi membolehkan
baginda membuat pilihan terhadap bakal menteri besar Selangor dengan melihat
bukan sahaja sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri malah dari segi
kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang Adun tersebut,"
katanya.
Menurut Mohamad Munir lagi,
walaupun parti dalam Pakatan Rakyat sudah mengemukan nama calon-calon tersebut,
Sultan Selangor mempunyai hak keistimewaan untuk meneliti nama yang dicadangkan
sebelum memperkenaan menjadi Menteri Besar di negeri berkenaan.
"Dengan penerimaan senarai
calon yang telah dikemukakan ini maka Sultan Selangor akan meneliti senarai
berkenaan dan akan mengambil kira segala aspek dalam menilai setiap calon
sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Dalam masa yang sama
memandangkan kuasa melantik menteri besar Selangor terletak pada budi bicara
tuanku, maka baginda juga akan meneliti nama-nama Adun yang lain dari Pakatan
Rakyat yang berkelayakan dan pada fikiran baginda mendapat kepercayaan majoriti
Dewan Undangan Negeri," ujarnya lagi. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor