Syura Hairan Hal "Dalam Kelambu" Dihidu Peminat

Desas desus mengatakan penyanyi cantik manis, Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron bakal menfailkan penceraian dengan suaminya, Mohd Fadhly, kononnya berlaku konflik rumah tangga yang mereka hadapi baru-baru ini.

Namun Syura pantas memberikan jawapan bagi desas-desus itu menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan bahawa dia masih berstatus isteri pada suaminya itu.

"Perkara (bakal bercerai itu) masih dalam perbincangan antara saya, suami dan keluarga. Setakat ini belum ada apa-apa kata putus."

"Apa yang saya boleh cakap kami belum sampai ke tahap pergi mahkamah. Failkan kes itu tak berlaku langsung. Saya boleh sahkan saya masih mempunyai suami," jelasnya yang dipetik dari Harian Metro.

Syura turut meluahkan rasa hairan mengenai hal dalaman rumahtangganya begitu mudah tersebar dan diketahui umum walaupun dia sedar tentang lumrah kehidupan artis memang sering jadi perhatian orang ramai.

"Tak ada apa-apa yang berlaku lagi. Saya dan suami masih okey dan bersama. Cuma adat dalam berumah tangga takkan semuanya manis saja."

"Saya agak pelik dan terkejut macam mana cerita ini boleh terkeluar tapi sebagai artis, saya faham dan sedar orang nak tahu kisah kehidupan kita," ucapnya.

"Cuma saya tak nak ia terlalu disensasikan, kerana orang luar hanya boleh menilai saja. Yang tahu cerita sebenar hanya kami sekeluarga," ujarnya lagi.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri, kan?

Kami di KedahNews.com mendoakan agar ikatan suci di antara Syura dan suami berkekalan hingga ke akhir hayat serta bahagia disamping keluarga tercinta. -Norhayati Shaharun/ KedahNews.com