Seorang warga emas membawa hati dengan memanjat pokok kelapa setinggi sembilan meter sebelum tertidur di atasnya selama empat jam gara-gara merajuk dengan isteri yang membebel kerana dia tidur di ruang tamu rumah.
Pesawah yang dikenali sebagai Salimin, 76, dimarahi isterinya Ratini, 70 yang meminta suaminya berbaring di tempat lain kerana ketika itu dia sedang membersihkan rumah, lapor Kosmo.com.my.
Selepas bertengkar beberapa ketika, pesawah itu terus meninggalkan rumah mereka di Jalan Sinarut Lama, Ranau manakala si isteri yang merupakan seorang suri rumah memerhatikan sahaja kelakuan suaminya itu.
Namun, ketika melihat suaminya menuju ke arah sepohon pokok kelapa yang tinggi berdekatan rumah dan dia mula memanjat pokok itu, si isteri cemas.
Wanita itu lalu mengejar dan memujuk suaminya supaya tidak meneruskan hajatnya.
Salimin yang masih hangat hati tidak menghiraukan pujukan isterinya malah dia terus memanjat sehingga ke pelepah sebelum berbaring di celahnya. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com