Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengaku salah atau partinya berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegur PKR sebagai punca kemelut politik yang menghuru-harakan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini.
Meskipun menghormati teguran Sultan Selangor itu, Anwar langsung enggan mengaku kesalahan tersebut dengan hanya memberitahu media bahawa dakwaan tersebut hanya mewakili pandangan pihak Sultan Selangor sahaja.
"Itu pendapat peribadi Tuanku, dengan penuh hormat, saya tak mahu berdebat dengan hal itu," jawab Anwar sebagaimana yang dipetik dari laman portal pro- parti pembangkang, Malaysiakini.com.
Sultan Selangor sebelum ini dalam titah baginda pada 26 September lalu kecewa dengan sikap PKR yang tidak mengendahkan kemuliaan bulan Ramadhan sehingga tergamak meneruskan agenda politik menghasut untuk mengulingkan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut baginda lagi, krisis menghuru-harakan Kerajaan Negeri Selangor telah menyebabkan rakyat di negeri itu turut menerima kesan buruk bermula dari gerakan Langkah Kajang yang dimulakan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, dengan restu Anwar.
Langkah Kajang pada asalnya bertujua untuk memberi laluan mudah pada Anwar menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor, namun gagal ekoran Ketua Pembangkang itu didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan hingga menyebabkan beliau hilang kelayakan bertanding di PRK DUN Kajang.
Seterusnya, isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dipilih menggantikan beliau dan menang di PRK tersebut.
Langkah Rafizi itu diteruskan dengan memecat keahlian Khalid dari PKR, sekaligus memaksa bekas Menteri Besar itu meletak jawatan Menteri Besar, namun "diselamatkan" Sultan Selangor buat sementara waktu bagi memilih calon yang sesuai menggantikan beliau.
Bagaimanapun, hasrat Anwar menjadikan isterinya sebagai Menteri Besar berkecai apabila Sultan Selangor memilih Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, bagi menggantikan Khalid, sebagaimana yang dicadangkan oleh PAS yang tidak rela mencalonkan Wan Azizah.
Tindakan PAS mencalonkan Azmin dan mendakwa Wan Azizah tidak layak menjadi Menteri Besar telah mencetus ketegangan serius di dalam Pakatan Rakyat yang kini kian meruncing walaupun kemelut Menteri Besar Selangor itu telah selesai. -KedahNews.com