Tesco Jual Mug Dari Tulang Babi?


Seorang pengguna laman Facebook mendakwa dirinya terbeli sebiji koleh (mug) jenama Bone China yang dikatakan diperbuat dari kisaran tulang haiwan dari pasaraya Tesco Extra di Selayang.

Menurut pengguna tersebut, pihak Tesco telah menutup tulisan jenama "Bone China" pada mug itu yang menyebabkan dia terbeli mug berkenaan.

Selain itu dia juga kesal dengan pasaraya itu yang seolah-olah memperdaya pelanggan beragama Islam dengan tindakan "menyembunyikan" jenama barangan yang dipercayai diperbuat bersumberkan tulang babi.

"Pengurusan Tesco bijak mempedaya pelanggan Islam dengan meletakkan barcode tag menutup tanda Bone China tersebut" katanya.

Sebelum ini, "netizen" di Malaysia pernah kecoh mengenai pinggan mangkuk dari produk Bone China yang dihasilkan dari tulang babi dan Majlis Fatwa Kebangsaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pernah mengeluarkan fatwa mengenainya.

Berikut adalah kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan yang diputuskan pada Mei 2012 mengenai penggunaan produk Bone China:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Penggunaan Peralatan Dan Perhiasan Berasaskan Abu Tulang Haiwan (Bone China). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa berdasarkan mazhab Shafie, sifat kenajisan babi masih kekal dalam produk bone china dan sifat najis tersebut tidak akan hilang kerana proses istihalah dianggap tidak berlaku.
 
Muzakarah juga berpandangan bahawa sekiranya penggunaan produk bone china yang berasaskan abu tulang haiwan yang tidak halal mengikut Syarak ini diharuskan, maka ia akan membuka ruang kepada penggunaan produk-produk bersumberkan haiwan yang tidak halal mengikut syarak berleluasa.
 
Muzakarah juga berpandangan bahawa peralatan atau perhiasan bone china tidak mencapai tahap keperluan (darurah) kepada masyarakat untuk memiliki dan menggunakannya.
 
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan peralatan atau perhiasan yang dihasilkan daripada abu tulang haiwan (bone china) yang tidak halal mengikut syarak, termasuk haiwan yang halal dimakan tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak adalah tidak diharuskan.
 
Walaubagaimanapun, penggunaan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone china) yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak adalah diharuskan.

KedahNews.com menggesa supaya pihak Tesco berlaku sensitif dalam isu ini ekoran majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam dan bertindak menarik balik atau mengasingkan barangan dari produk itu ke bahagian "tidak halal".

Para pelanggan beragaman Islam juga disarankan agar lebih berhati-hati selepas ini memandangkan jika sebuah pasaraya besar seperti Tesco pun tidak sensitif terhadap hukum halal atau haram bagi umat Islam di Malaysia, apatah lagi syarikat lain, bukan? -KedahNews.com