Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan bahawa tiada maaf bagi mana-mana pihak yang terlanjur mencetus sebarang provokasi dengan menyalahgunakan rangkaian media sosial untuk menghina atau menghasut.
Dalam kenyataan terbaru beliau yang dipetik dari akaun laman sosialnya lewat semalam, Ketua Polis Negara itu memberitahu pihak yang menyalahgunakan media sosial itu untuk menanti tindak balas dari pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
"Tiada Maaf lagi kpd sesiapa jua yg menyalahgunakan rangkaian media utk menghina/mengutuk dan menghasut. Tunggu tindakan@PDRMsia", kata Khalid, enggan lagi bertolak ansur dengan pihak-pihak tidak bertanggungjawab tersebut.
Dua orang pengguna media sosial Twitter yang menggunakan akaun bernama Nasrul Omar dan Victor Wong sebelum itu dilaporkan telah menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat berunsur biadap terhadap PDRM.
Mungkin gerun dengan kenyataan tegas pihak berkuasa itu terhadap "ketelanjurannya" berlaku biadap dan kurang ajar itu, Victor telah memohon maaf menerusi akaun laman sosialnya, semalam.
Kenyataan terbaru Ketua Polis Negara itu juga dijangka merupakan respon balas terhadap kenyataan maaf tersebut dan diyakini bertujuan sebagai satu pengajaran berguna bagi pengguna-pengguna media sosial lain yang sama "spesis"nya seperti Nasrul dan Victor.
Ramai pengguna di Malaysia sebelum ini begitu ghairah "tunjuk kuat" menerusi media-media sosial dengan mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan dan hasutan sehingga menyentuh sensitiviti pelbagai pihak, khususnya berkaitan soal agama, perkauman dan peribadi.
Tidak memilih "bulu", PDRM melakukan siasatan demi siasatan terhadap banyak kes yang dilaporkan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menangangi kes-kes jenayah siber. -KedahNews.com