Kota Kinabalu –
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menegaskan UMNO tidak
pernah mengamalkan nepotisme dalam pentadbirannya walaupun terdapat banyak dikalangan
pemimpinnya merupakan anak kepada bekas-bekas ahli politik yang mempunyai
pengaruh yang sangat kuat dalam parti itu.
Mukhriz berkata, dia mengakui
dikalangan pemimpin UMNO wujud pengaruh yang menyebabkan mereka berkecimpung dalam
arena politik tetapi ia berlaku mengikut peredaran masa dan bukanlah dirancang.
"Memang saya orang yang
tidak sesuai untuk berkata mengenai nepotisme kerana saya adalah anak bekas
perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Tetapi saya menceburi
bidang politik pada 2004 iaitu setahun selepas bapa saya bersara. Jadi tak
patut pembangkang tuduh saya atau Umno sebagai nepotisme," katanya dipetik
Bernama ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Penampang di Kota Kinabalu,
semalam.
Menurut Mukhriz lagi, nepotisme
yang sebenar dapat dilihat dengan jelas melalui pentabdiran parti pembangkang
yang dilakukan di negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor.
"Penasihat DAP Lim Kit Siang
letak anak dia Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP dan sekarang jadi
ketua menteri Pulau Pinang pula.
"Di Selangor, PKR buang
menteri besarnya (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) kerana penasihatnya (Datuk Seri
Anwar Ibrahim) nak isterinya (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) jadi Menteri
Besar," ujarnya lagi.
Tambah Mukhriz lagi, pemilihan
Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Dr Wan Azizah sebagai calon
Menteri Besar Selangor jelas membuktikan Pakatan Rakyat sebenarnya tidak yakin
dengan keampuan anak jati negeri tersebut untuk mentadbir negeri mereka
sendiri. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor