Kota Kinabalu - Polis mengenal pasti tiga individu yang sering
mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berkaitan Sabah di laman sosial.
Ini termasuk kenyataan sehingga menimbulkan isu kurang selesa iaitu membawa Sabah keluar dari Malaysia.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika ditemui
berkata, semua maklumat berhubung tiga suspek itu sudah diperolehi
termasuk identiti dan bukti hasutan.
"Kini usaha menjejaki mereka sedang giat dijalankan dan dipercayai mereka masih berada di dalam negara," katanya.
Jalaluddin berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada tiga suspek
ini mempunyai kaitan langsung dengan kumpulan Sabah Sarawak Keluar
Malaysia (SSKM).
Menurutnya, identiti ketiga-tiga suspek tidak boleh didedahkan
kepada umum sehinggalah tangkapan dan siasatan menyeluruh selesai
dilakukan.
Sementara itu, di Manjung, Perak, Menteri Dalam
Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis sedang
menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu berkenaan.
Katanya,
ahli politik, bekas ahli politik dan kumpulan kesultanan tertentu di
negara ini antara individu dikenalpasti bertanggungjawab terbabit dalam
usaha mencetuskan isu membawa keluar Sabah dan Sarawak dari Malaysia.
Menurutnya,
usaha lanjut sedang dilakukan ketika ini membabitkan polis dan Peguam
Negara untuk mengambil tindakan terhadap individu serta kumpulan
terbabit.
"Polis sudah dapat maklumat peribadi mereka," katanya
selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut, di Dewan
Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, di sini.
Katanya, tindakan
undang-undang mengikut Akta Hasutan 1948 boleh diambil terhadap mereka
selain akta keselamatan lain seperti penderhakaan terhadap Yang di-
Pertuan Agong. -myMetro