Haji adalah ibadat yang akan
menguji kekuatan iman seorang hamba dalam mentaati Allah SWT.
Ia rukun kelima dalam Islam yang
diletakkan selepas syahadah, solat, zakat dan puasa. Susunan terakhir yang
diletakkan oleh Allah SWT bukanlah menunjukkan ia ibadat yang tidak penting.
Sebenarnya, haji adalah kemuncak kepada ibadat lain bagi menentukan sejauh
manakah ketaatan kita sebagai seorang hamba.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah
SAW bersabda:
"Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah rombongan Allah, jika mereka mendoakan sesuatu maka Allah akan memperkenankannya, dan jika mereka memohon ampun, akan diampunkan." (Riwayat Ibnu Majah, Tabarani dan al-Baihaqi)
Mereka yang layak menunaikan
ibadat haji adalah tetamu kepada Allah SWT yang telah dijemput oleh Allah SWT
ke tempat paling suci di samping membenarkan seruan Nabi Ibrahim seperti
dirakamkan dalam al-Quran.
Allah SWT berfirman yang
bermaksud:
"Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan haji nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta, yang datang dari segenap penjuru yang jauh. Supaya mereka mempersaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berikanlah sebahagian yang lain untuk makanan bagi mereka yang sengsara dan orang fakir." (Surah al-Hajj, ayat 27-28)
Persiapan diri
Persiapan menjelang ibadah haji
dengan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, melakukan amalan wajib dan
sunnah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Menunjukkan mereka yang akan
melaksanakan ibadah haji sudah bersedia dengan kebersihan diri, harta, zahir
dan batin.
Persediaan inilah yang
menggusarkan bakal haji kerana beranggapan mereka belum cukup bersedia untuk
menjadi tetamu Allah SWT sedangkan agama itu sangatlah mudah untuk
dilaksanakan. Sebenarnya persediaan itu lebih cenderung kepada usaha
mendekatkan diri dengan Allah SWT sekadar yang termampu.
Ketahuilah, setiap ibadah yang
kita lakukan, sempurna atau tidak ibadatitu banyak tergantung kepada persiapan
dan perbekalan. Oleh itu, bagi yang akan melaksanakan ibadah haji hendaklah
bermuhasabah diri dengan bekalan takwa sehingga dapat meraih haji yang mabrur
di sisi Allah SWT.
Haji juga dianggap suatu
perjalanan suci umat Islam untuk membersihkandiri daripada segala dosa dan
kemaksiatan. Ibadah haji akanmelengkapkan lagi peraturan hidup yang sedang
berjalan. Jemaah haji mendapat kelebihan berbanding mereka yang belum
menunaikan haji.
Hidup mereka akan kelihatan lebih
mulia dan sempurna atau dengan kata lain, mereka yang telah menunaikan haji sudah
lengkap proses pendidikan ke arah menjadi Muslim sejati. Pelajaran hidup bagi
yang belum dijemput menunaikan haji adalah hasil pendidikan daripada
sembahyang, puasa dan zakat sahaja.
Masih ada ruang kosong yang hanya
dapat dipenuhi dengan cara menunaikan haji. Oleh itu, ibadah haji adalah puncak
proses pentarbiahan seseorang seterusnya melengkapkan rukun Islam seperti yang
diperintahkan oleh Allah SWT.
Hukum-hakam di dalamnya juga
dapat dicerna sebagai pemangkin kepada proses pendidikan jiwa seorang Muslim.
Ini tidak bererti mereka yang belum menunaikan haji tidak sempurna imannya dan
tidak diredai kerana kekuatan dan kemampuan melakukan haji terbatas kepada
mereka yang berkemampuan sahaja.
Ibadat bukan trend sering berlaku
dalam kalangan ummah menjadikan ibadat haji dan umrah sekadar trend
semata-mata, terikut- ikut dengan pengaruh persekitaran, berlumba-lumba
mendapatkan gelaran dalam masyarakat tanpa mengambil kira matlamat sebenar
ibadah bakal dilaksanakan.
Tidak kurang yang masih
mencaricari hidayah dan seruan walaupun kemampuan sudah melebihi keperluan
untuk menunaikan haji. Mereka yang layak menunaikan haji dan mengabaikannya,
telah diingatkan bahawa mereka menempah kemurkaan daripada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak mahu mengerjakan haji, maka bolehlah dia memilih untuk mati secara Yahudi atau Nasrani." (Riwayat Tirmizi)
Ibadah haji bukan hanya berkisar
soal kekuatan dan kehebatan semata- mata, tetapi juga membabitkan soal disiplin
serta kepatuhan. Kesukaran menjaga batas larangan Allah SWT menjadi sifat
manusia. Maka ibadah haji bagi menunjukkan kepatuhan kepada Allah SWT serta kekuatan
menjaga disiplin menunaikan ibadat.
Semangat yang dijelmakan dalam
melakukan ibadah membabitkan fizikal melambangkan setiap kejayaan memerlukan
usaha dan kerja keras untuk mencapainya. Konsep perpaduan memang menjadi agenda
utama dalam haji kerana ia adalah asas kekuatan umat mendepani cabaran. Semua
perilaku dalam haji dilakukan bersama sambil bertalbiah memuji kebesaran Allah
SWT.
Umat Islam adalah umpama tubuh
yang satu, maka perbezaan pendapat, kekayaan, kedudukan, tidak boleh dijadikan
alasan untuk mereka berpecah. Umat Islam yang kaya, miskin, alim, orang biasa,
pemimpin dan rakyat semuanya bersatu dalam ibadat haji. Inilah nilai yang
tersembunyi ketika berwukuf di Arafah setelah melakukan tawaf dan saie. Arafah
juga ini akan menimbulkan sikap rahmah, kasih sayang sesama makhluk.
Ibadah haji umpama sebuah sekolah
yang menebarkan jalan untuk mempelajari kaedah bagi menghadapi kehidupan dengan
bekalan nilai tauhid, ibadah, usaha, silaturahim, siap menghadapi godaan dan
kesiapan diri untuk berkorban.
Sumber : Berita Harian