Dalam rancangan Masterchef
Australia musim keempat disiarkan lebih setahun lalu, satu daripada cabaran
peserta adalah ke restoran yang menjadi rakan pertubuhan bukan kerajaan
terbabit dalam program makanan untuk kebajikan, bagi mendapatkan bahan mentah
lebihan yang tidak digunakan untuk dijadikan hidangan hebat.
Menariknya, apa diberikan
restoran berkenaan bukanlah bahan yang tidak baik, malah ada di antaranya bahan
yang boleh dianggap mahal, cuma ia tidak menepati standard restoran berkenaan
kerana mungkin tidak lagi sesegar seperti diperlukan restoran berkenaan.
Hasilnya, dengan kemahiran dan
kreativiti peserta dapat menghasilkan hidangan cukup menarik setaraf dihasilkan
restoran dan hotel lima bintang.
Dalam satu rancangan lain,
Extreme Cheapskate, yang memaparkan gaya hidup mereka yang kedekut, dalam
episod dipertontonkan rutin seorang wanita yang agak berkira dalam mengeluarkan
wang untuk membeli makanan, menggeledah tong sampah di lorong belakang kawasan
komersial menempatkan restoran bertaraf bintang untuk mencari sayur-sayuran dan
buah-buahan.
Kebanyakan makanan dibuang masih elok
Sesuatu yang mengejutkan ialah
kebanyakan diperoleh wanita berkenaan adalah sayur-sayuran dan buah-buahan yang
masih elok, malah dalam bungkusan plastik yang belum dibuka.
Dua contoh ini menunjukkan
membuang bahan makanan yang masih elok demi menjaga reputasi terutama dalam
kalangan perniagaan adalah satu norma. Bahan berkenaan bukannya tidak elok,
tetapi 'sudah luput' dalam standard mereka kerana sebagai restoran bertaraf bintang
semestinya mereka mahu memberikan yang terbaik kepada pelanggan yang sanggup
berbelanja mahal bagi setiap hidangan dipesan.
Namun begitu, bagi bahan yang
sudah dibuang ke dalam tong sampah seperti yang berlaku dalam contoh kedua,
walaupun nampak masih baik timbul persoalan mengenai kebersihan dan cemar yang
mana memakannya mungkin boleh menimbulkan impak kepada kesihatan.
Difahamkan satu per tiga daripada
makanan di dunia dibuang setiap tahun dan di Amerika sahaja, 40 peratus
daripada makanan dibuang yang berlaku sejak peringkat ladang yang kemudian
berterusan di kedai dan di rumah.
Malaysia tidak terkecuali dalam
hal ini, dan menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal
dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Datuk Ab Rahim Md Noor, rakyat Malaysia membuang
makanan sehingga 8,000 tan atau lapan juta kilogram sehari.
Jumlah itu dikatakan mampu
menampung bekalan makanan untuk enam juta orang.
Katanya, perkara itu amat
membimbangkan dan pihaknya akan melancarkan Program Transformasi Minda bulan
depan bagi mengubah pemikiran masyarakat supaya tidak membuang makanan sesuka
hati yang mana pengisian program itu adalah kerjasama pengusaha kedai makanan,
hotel serta industri untuk menyumbang makanan lebihan kepada badan kebajikan
memerlukan.
Seperti di Australia, melalui
pertubuhan penyelamat makanan untuk kebajikan, ia berjaya mengurangkan kadar
buangan bahan makanan yang berjumlah kira-kira satu juta tan setahun. Satu
daripadanya adalah Food Bank yang mengagihkan makanan yang cukup untuk
menghasilkan 32 juta hidangan pada tahun 2011. Bahan makanan itu diperoleh
daripada premis perniagaan.
Timbul persoalan mengapa berlaku
pembaziran terhadap makanan. Satu daripadanya adalah tidak dapat mengagak
jumlah yang perlu dimasak sehingga menyebabkan kadang-kadang terlebih memasak
sesuatu hidangan atau menyediakan banyak jenis lauk untuk satu-satu hidangan.
Resipi kitar semula
Ini menyebabkan lauk yang tidak
habis akhirnya terbuang. Sebenarnya banyak resipi kitar semula yang boleh
digunakan. Apa yang perlu adalah sedikit kerajinan untuk meninjau blog masakan
bagi mendapat idea apa yang dapat dihasilkan daripada lebihan lauk yang ada.
Tidak memeriksa apa yang ada
dalam peti sejuk juga antara punca berlaku pembaziran makanan yang menyebabkan
membeli bahan yang sudah ada atau terlebih membeli sehingga bahan berkenaan
tidak sempat untuk dimasak.
Selain itu pembaziran juga
berlaku kerana kebanyakan kita pergi membeli barangan keperluan ketika lapar
menyebabkan nafsu membeli meningkat sehingga terbeli barangan yang tidak perlu
dan tidak tahu bila hendak digunakan.
Justeru, transformasi minda
seperti yang ingin dilaksanakan PPSPPA bagi menyedarkan masyarakat untuk tidak
membazir makanan adalah satu ruang untuk mengatasi perkara ini. Ia juga mungkin
dapat menyedarkan mereka yang selalu membazir makanan, bahawa di luar sana
terdapat mereka yang memerlukan dan wang yang dijimatkan boleh digunakan untuk
membantu golongan ini.
Selain itu, ia juga membantu
kerajaan kerana beberapa bahan makanan yang ada di pasaran diberikan subsidi
bagi membolehkan pengguna mendapatkannya pada harga yang rendah dan pada masa
sama membantu PPSPPA mengurangkan kos pelupusan sisa pejal yang mana jika
dicampurkan dengan makanan yang dibuang membabitkan berbilion ringgit.
Sumber: Berita Harian