UMNO Pulau Pinang Akui Kesilapan, Guan Eng Mahu Permohonan Maaf


Guan Eng (dua, kanan) disambut sebahagian penghuni Rumah Orang Tua Silver Jubliee ketika tiba untuk menghadiri karnival makanan hari ini.

Georgetown – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memuji tindakan UMNO yang mengaku melakukan kesilapan dalam membuat kenyataan berhubung Pasukan Peronda (PBS) di negeri berkenaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, pihak kerajaan negeri menerima pengakuan salah yang dilakukan oleh Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman tetapi mereka mahu ia disusuli dengan pemohon maaf terhadap perkara tersebut.

"Apabila buat silap, tentulah kena minta maaf. Walaupun beliau sudah mengakui kesilapan itu, namun secara adatnya, permohonan maaf itu perlu.

"Ini kerana tuduhan itu bersifat serangan politik ke atas saya dan juga anggota PPS. Selepas dicabar tunjukkan bukti, baru Umno sahkan bahawa berlaku kesilapan," katanya dipetik Sinar Harian selepas menghadiri Karnival Makanan di Rumah Orang Tua, Silver Jubliee.

Merujuk kepada laporan semalam, Zainal Abidin mengakui melakukan kesilapan dalam penulisan berhubung kenyataan yang dikeluarkan sebuah portal berita berhubung isu penyalahgunaan wang untuk anggota PBS.

Zainal Abidin berkata, dia tidak pernah menggunakan perkataan ‘bilion’ dalam laporan berita tersebut tetapi mengatakan kos keseluruhan kerajaan negeri kepada PBS berjumlah RM1.5 juta.

Laporan tersebut menyebabkan Guan Eng mencabar Zainal Abidin agar mengemukakan bukti terhadap tuduhan tersebut.

Menurut Guan Eng, dia tidak marah dengan perkara itu kerana ia sudah diakui oleh Zainal Abdin satu kesilapan tetapi mahu disertakan dengan permohan maaf daripada pihak UMNO di Pulau Pinang.

"Mana ada saya marah? Beliau (Zainal Abidin) dah sahkan ia satu kesilapan, cukuplah.

"Tapi mohon maaf tu, perlulah bila dah buat salah," ujarnya lagi. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor