Unit Amal PAS Diusir Cuba Ambil Alih Tugas Polis


Polis berjaya menyuraikan lebih 20 anggota Unit Amal PAS yang merancang untuk melakukan rondaan pencegahan jenayah di sekitar Stesen LRT Pandan Indah di Ampang Jaya malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, pihaknya tidak membenarkan pasukan Unit Amal PAS membuat rodaan sebegitu kerana pencegahan jenayah merupakan tanggungjawab polis dan orang awam tidak dibenarkan berbuat demikian.

“Selepas mengadakan perbincangan, kita nasihatkan kumpulan itu beredar dengan cara baik dan mereka mengikut arahan polis untuk beredar dalam tempoh 15 minit,

“Kita tidak mahu mana-mana pihak mengambil tindakan sendiri terhadap jenayah yang berlaku di kawasan ini kerana setiap laporan polis berhubung kejadian jenayah yang berlaku disiasat sewajarnya." kata Khairuldin yang dipetik dari laman The Malaysian Insider.

Khairuldin berkata, pihaknya sudah menugaskan anggota membuat rondaan dan meningkatkan pemantauan dengan meletakkan anggota berpakaian preman di lokasi yang seringkali berlaku jenayah.

"Kita juga tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya jika mereka (Unit Amal PAS) meneruskan niat melakukan rondaan cegah jenayah tanpa berbincang dengan polis," katanya.

Ketua kumpulan Unit Amal PAS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka, Iskandar Samad berkata pihaknya menghormati arahan polis dan akan mengadakan perbincangan seperti diminta.

Sebagai reaksi terhadap kenyataan Zahid, Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kayat menggesa menteri dalam negeri itu memohon maaf kerana melabelkan Unit Amal PAS sebagai jabatan keselamatan tidak berdaftar.

Suhaizan berkata, Unit Amal PAS adalah badan kebajikan di bawah Pemuda PAS yang menguruskan kebajikan dan bantuan kemanusiaan termasuk banjir. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com