UPSR: Kementerian Pantau Serius

PETALING JAYA - Kementerian Pendidikan sedang memantau persediaan untuk mengadakan semula peperiksaan kertas Bahasa Inggeris dan Sains bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 30 Sept ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata kementerian akan memastikan kebocoran soalan tidak berulang apabila peperiksaan bagi kedua-dua kertas itu diadakan semula.

"Jawatankuasa khas yang ditubuhkan (seperti pengumuman Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan melihat bagaimana untuk memperketat sistem agar tidak berlaku kelonggaran dan kebocoran soalan di masa depan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah bagi peraduan menulis esei Sunway-Oxbridge di sini, Sabtu.

Semasa berucap, beliau berkata kefasihan berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Malaysia adalah penting untuk nenambah keyakinan mereka dan bagi membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan.

Peraduan seumpama itu diadakan sebagai persediaan pelajar menduduki peperiksaan am menjelang hujung tahun, katanya.

Yesyannah A/P Jeeva Kumar, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban 2, Negeri Sembilan menang bagi Kategori A sementara Leong Whye Ye, 17, dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Confucian, Pulau Pinang bagi Kategori B.

Kedua-duanya menerima RM5,000, sumbangan RM20,000 dari Sunway, trofi serta sijil.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman Hashim, Presiden Oxford & Cambridge Society Malaysia, Mark Disney. -BERNAMA