US Rancang Serang ISIL Habis-Habisan

NEWPORT - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama merancang membentangkan pelan pembentukan satu pakatan antarabangsa bagi mengempur kumpulan militan Negara Islam di Iraq dan Syria habis-habisan semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan ini.

Bagaimanapun cadangan Obama itu menerima maklum balas yang berhati-hati daripada sekutu Amerika daripada negara-negara Eropah.

Ketika Bercakap pada sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sini, Obama berkata, Amerika juga akan cuba melibatkan sekutunya dari Asia Barat dalam strategi untuk menumpaskan kumpulan militan tersebut yang mengusai sebahagian besar kawasan di kedua-dua negara itu.

"Perkara ini tidak akan terjadi dalam sekelip mata, namun kami sedang bergerak ke arah yang betul dan akan mencapai matlamat kami,'' kata Obama.

Menurut Obama, penglibatan serantau 'amat penting; walaupun Jabatan Negara AS menjelaskan, tiada rancangan untuk membentuk koordinasi ketenteraan dengan Iran dalam rancangan itu.

"Kami akan mengempur dan sudah tentu mengalahkan ISIL,'' kata Obama merujuk kepada IS, yang sebelum ini mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan dua wartawan Amerika.

Obama yakin pakatan itu akan dibentuk dengan pegawai AS menyatakan bahawa rancangan tersebut mempunyai strategi yang ditetapkan semasa Perhimpunan Agung PBB yang akan berlangusng pada hujung bulan ini.

Jelasnya, terdapat 'kesepakatan' dalam kalangan anggota NATO bahawa kumpulan itu 'menimbulkan ancaman besar'.

Britain menyokong serangan di Iraq, namun Perdana Menteri, David Cameron menolak prospek tindakan segera dilakukan.

"Perkara ini memerlukan masa, kesabaran dan penyelesaian. Kami akan meneruskannya secara berhati-hati dan teratur, menarik kerjasama rakan yang kami perlukan di rantau ini bagi melaksanakan satu pelan komprehensif,'' katanya. - AFP