Internet adalah satu keperluan
dalam kehidupan manusia pada abad ke-21. Memang revolusi dalam teknologi
maklumat ini mengubah cara hidup manusia, cara berfikir, berkomunikasi atau
interaksi, berhibur dan cara berlibur.
Kehidupan dunia siber memberikan
suatu cabaran, realiti dan ilusi kepada manusia sejagat. Tidak menghairankan
kebimbangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini,
mencadangkan kerajaan menapis internet demi kelangsungan dan jaminan kemakmuran
rakyat terus dipertahankan. Kecoh satu dunia dalam Malaysia ini yang mahu pihak
berkaitan menapis, menutup, mengehadkan dan segala macam untuk menahan kegilaan
yang ada dalam dunia internet. Tapi setakat mana pun ?
Sebenarnya kerisauan itu dikongsi
kelompok ibu bapa. Mereka tentu bimbang, resah dan gelisah terhadap integriti
anak dalam melayari internet. Soal untuk menapis atau menutup media sosial baru
seperti Facebook atau Twitter adalah sesuatu yang agak mustahil.
Internet sudah menjadi keperluan
asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, pengangkutan awam, sekolah dan
universiti. Kata seorang kenalan, boleh mati rasanya kalau tidak ada talian
internet. Ini persepsi khalayak masa kini yang nampak macam terlalu obses
terhadap dunia siber ini. Anak-anak berusia dua tahun atau tiga tahun pun dah
pandai meminta iPad atau tablet Samsung.
Yang menjadi persoalan utama
sekarang ialah sejauh manakah kebebasan internet menjadi racun kepada
kestabilan sosio, ekonomi, politik dan keselamatan negara? Penulis maklum
kerajaan sudah lama bersedia dan mempunyai kepakaran menangani kekangan,
ancaman, masalah atau serangan hasil dari dunia internet. Kita ada Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selain akta sedia ada.
25 juta pengguna internet di Malaysia
Di Malaysia, statistik penggunaan
internet terus meningkat. Dengan 14,904,000 pengguna internet sehingga Jun
2007, angka ini menunjukkan 59 peratus daripada jumlah penduduk negara
mempunyai capaian internet daripada keseluruhan 25 juta penduduk. Peratusan ini
menunjukkan peningkatan, berbanding 15 peratus saja rakyat yang mempunyai akses
internet pada tahun 2000. Pada tahun 2014, pengguna internet di Malaysia
mencapai hampir 25 juta orang.
Apa yang memeningkan kepala
penulis sekarang ialah apa bentuk sebenar-benarnya yang sudah dan hendak
ditapis dalam dunia internet apatah lagi di negara ini ? Walaupun bukan kerja
mudah, usaha itu kena nampak. Apa kategori internet yang hendak ditapis? Ini
perlu dirancang secara strategik dan benar-benar memberi kesan kepada rakyat.
Kerajaan pasti menjadi jaguh dan
boleh memenangi hati rakyat jika bercadang menyekat akses pornografi internet
terlebih dulu secara besar-besaran.
Dalam hal ini, tidak ramai
sebenarnya mengetahui sistem IT dalam sektor pentadbiran awam dan banyak
syarikat swasta yang mempunyai sistem 'block' menyekat langsung pornografi
internet tetapi tidak ada maknanya juga apabila seseorang pekerja itu mempunyai
pelan data internet dalam telefon pintar atau tablet peribadi masing-masing
yang masih boleh mengakses pornografi internet ketika dia bekerja.
Sudah tiba masanya kerajaan
melancarkan 'jihad' perang terhadap pornografi internet ini secara
besar-besaran seperti yang dilaksanakan terhadap penyalahgunaan dadah sejak
1970-an atau kempen perangi denggi. Penulis syorkan supaya kempen perangi
pornografi internet hendaklah diletakkan sebaris ancaman komunis satu ketika
dulu dan pengganas.
Saya yakin, rakyat tidak
membantah perkara itu. Kes anak rogol ibu kandung sendiri di Bukit OUG Cheras,
Kuala Lumpur baru-baru ini, adalah kerana didorong dengan bahan lucah dalam
telefon bimbit. Satu lagi kisah, remaja diperkosa 16 lelaki dan dipaksa
melakukan seks oral di Jalan Kuari Cheras, manakala di Kuala Terengganu, seorang
tukang cuci berusia 21 tahun dirogol rakan sekerja di tempat kerja.
Tiga kes ini dipaparkan hampir
satu muka surat BH pada 21 Ogos lalu. Ia menunjukkan begitu mudahnya pornografi
internet diakses di mana-mana saja. Penulis hendak berkongsi maklumat betapa
industri pornografi internet ini memberi pulangan besar kepada keuntungan dunia
yang mencecah AS$97 bilion pada tahun 2006 dan meningkat tiga kali ganda
sehingga Jun 2014.
Pulangan industri ini secara
keseluruhannya dikatakan lebih besar berbanding syarikat terkemuka seperti
Microsoft, Google, Amazon, eBay, Yahoo! dan Apple. Daripada jumlah itu, dikesan
bahawa setiap saat, AS$3,075.64 (RM9,842) dibelanjakan khusus untuk pornografi
di seluruh dunia dan pada saat sama 28,258 penonton internet menonton pornografi,
juga 372 pengguna internet menaip terma berkaitan kelucahan daripada enjin
carian, dan setiap 39 minit satu video lucah dirakam di Amerika Syarikat (AS).
Bagi jumlah jaringan pornografi
pula, 12 peratus daripada keseluruhan laman web di dunia ini adalah laman lucah
sehingga menarik perhatian 420 juta 'peminat' di ruang siber.
Tak mudah sekat web pornografi
Untuk sekat web pornografi
internet bukan satu tugas mudah. Kalau ikut statistik yang penulis sempat cari
dalam internet Google, di AS, terdapat hasilan laman web pornografi sebanyak
244,661,900, di Jerman 10,030,200 laman web pornografi, di Britain (8,506,800
laman web pornografi), di Australia (5,655,800 laman web pornografi), di Jepun
pula terhasil laman web pornografi sebanyak 2,700,800.
Statistik Google Trends
menunjukkan Malaysia menduduki tangga kelapan bagi negara paling banyak pencari
maklumat mengenai seks. Malah, kajian dapatan siasatan penulis mendapati
kemudahan WiFi pada telefon pintar, begitu mudah novel atau cerpen lucah Melayu
boleh dimuat turun melalui aplikasi e-book (buku digital). Ratusan nukilan
novel atau cerpen lucah berbahasa Melayu boleh diperoleh tanpa perlu bersusah
payah mencarinya di kedai majalah atau melayari internet di premis pusat siber
tetapi hanya menggunakan kaedah memuat turun aplikasi melalui Play Store.
Industri pornografi
Walaupun hasil pornografi disebar
luas di Barat sejak tahun 1980, penciptaan world wide web pada tahun 1991
membuka ruang lebih besar dan luas kepada ledakan pornografi online. Hari ini,
negara yang menjalankan industri pornografi internet terhebat adalah China,
diikuti Korea Selatan dan Jepun. AS menduduki tempat keempat dunia, manakala
Britain tempat keenam selepas Australia di tempat kelima.
Malaysia kena sedar segera dalam
hal ini. Statistik ini nyata membimbangkan, kerana gejala ini bukan hanya
menular di Barat, malah mula dimonopoli orang Timur. Kemudahan penonton untuk
melayari internet dari sehari ke sehari memberi peluang muat turun yang luas
terhadap gambar dan video pornografi.
Di Barat hari ini, pornografi
internet dilihat antara satu daripada masalah yang bukan saja mengancam
individu dewasa, malah juga kanak-kanak. Misalnya, satu kajian yang dijalankan
di Kanada mendapati 90 peratus pelajar berumur antara 13 hingga 14 tahun
dilaporkan pernah terdedah kepada kandungan lucah sekurang-kurangnya sekali.
Hasil kajian juga menunjukkan
remaja lelaki mempunyai kecenderungan untuk menonton laman web lucah secara
sukarela. Jika dilihat di peringkat awal perkembangan pornografi di Britian
pula, ia berkembang menerusi industri penerbitan majalah lucah yang dijual
sehingga mencecah 20 juta pada tahun 1990 dan dibaca oleh sehingga lima juta
orang. Hasil lucah ini dibentuk dan disebarkan dengan cara berbeza di Britain
dan AS. Di AS misalnya, bahan lucah dihasilkan dalam bentuk jenayah terancang.
Di Britain, ia dihasilkan oleh individu tertentu industri penerbitan yang turut
menerbitkan hasil bukan lucah untuk umum.
Menariknya hari ini, pornografi
dan impak negatifnya tidak dipandang ringan termasuk di Barat. Di Britain,
kajian mengenai impak pornografi peringkat nasional diarah dijalankan untuk
menambah baik dan melengkapkan hasil kajian terdahulu.
Penulis pernah membaca berita
pada tahun 2005 melaporkan satu kajian menunjukkan bahawa sembilan daripada 10
kanak-kanak dan remaja berusia antara lapan dan 16 tahun melayari laman web
lucah dan kebanyakannya secara tidak sengaja ketika mencari maklumat berkaitan
kerja sekolah di Malaysia. Malahan kebanyakan laman web terbabit berselindung
di sebalik penggunaan nama yang `bersih' daripada unsur kelucahan.
Sudah tiba masanya untuk
permulaan yang drastik ini, kerajaan perlu melancarkan perang kempen perangi
pornografi internet secara besar-besaran, diikuti perangi perjudian internet,
kempen perangi fitnah, penipuan, penyelewengan dan perdagangan manusia secara
internet. Rakyat pasti sokong dan lega dengan tindakan murni kerajaan dalam hal
sebegitu.
Sumber: Berita Harian