PENGERTIAN uzlah menurut Islam
bermaksud tinggal bersendirian di suatu tempat tertentu bagi membolehkan
seseorang itu fokus untuk beribadah tanpa gangguan daripada sesiapa dan mengelak
daripada melakukan dosa.
Ketenangan, kerehatan dan
kenikmatan hadir dalam uzlah. Sesiapa yang tidak tenang beruzlah di dalam
rumahnya, dia tidak akan berasa ketenangan walau di mana-mana pun berada.
Walaupun sesetengah golongan harakiyyin mengingkari keharusan uzlah, terdapat
dalil menunjukkan pensyariatan uzlah.
Imam al-Bukhari mentakhrij dengan
sanad daripada Abu Sa’id al-Khudri RA berkata: “Datang seorang a’rabi (Arab
Badawi) kepada Nabi SAW lalu berkata: "Wahai Rasulullah, siapakah manusia
yang paling baik?” Rasulullah SAW bersabda:
“Seorang lelaki yang berjihad di jalan ALLAH dengan nyawa dan hartanya dan seorang lelaki di satu lereng bukit dia menyembah Tuhannya dan menyelamatkan manusia daripada kejahatannya.” (Sahih al-Bukhari, Kitab ar-Riqaq, Bab Uzlah Merehatkan diri Dari Rakan-rakan Yang Jahat. Hadith 1359)
Fadilat uzlah
Imam Ahmad dan Muslim
meriwayatkan dengan sanad sahih, daripada Sa’d ibn Abi Waqqas RA berkata:
"Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya ALLAH cintakan hamba yang bertakwa, kaya dan tersembunyi.”
Dalam lafaz lain,
“Akan berlaku fitnah-fitnah, orang yang terbaik ketika itu ialah yang bertakwa, kaya dan tersembunyi.” (Riwayat Abu Ya’la & Tabarani)
Uzlah memberikan peluang untuk
muhasabah, taubat, istighfar, taubat dan islah diri. Ketika uzlah ada
kelapangan masa untuk bertilawah, hifz, tadabur, zikir sebanyak-banyaknya dan
membaca pelbagai buku.
Ketika uzlah seseorang dapat
merawat tubuh badan dan membanyakkan solat sunat, memikirkan perihal mati dan
bekalan mati.
Selain itu, dengan beruzlah,
seseorang itu selamat daripada mengumpat, dosa lidah, berbual kosong dan
maksiat dalam pergaulan. Semua itu Insya-ALLAH membawa ke syurga.
Begitu juga dalam uzlah,
seseorang dapat mengelak diri daripada penyakit mengejar kemasyhuran. Tidak
jujur kepada ALLAH SWT, apabila seseorang yang cintakan kemasyhuran.
Sebagai umat Islam, menjadi
keharusan untuk uzlah apabila dijangka berlaku kerosakan dalam agama, terjatuh
dalam haram dan syubhah.
Mukhalatah (pergaulan) dengan
syaratnya dan sabar terhadap kejahatan manusia lebih baik dari uzlah. Tetapi
uzlah lebih baik bagi yang lemah dan tidak sabar, serta lebih sedikit risiko
dan mudaratnya.
Antara kelebihan uzlah apabila
memenuhi syarat dan adabnya ialah dapat menenangkan hati, merehatkan fikiran
dan jasad, menumpukan ingatan kepada mati, persediaannya dan dapat mengingati
akhirat serta dapat menumpukan ibadah.
Uzlah seperti ini adalah ibadah. Ada pun uzlah disertai maksiat, maka bergaul lebih baik dari uzlah bersama syaitan. Golongan salaf saling berpesan-pesan agar melazimi uzlah. Malik ibn Dinar berkata, “Tiga pesanan salaf ialah uzlah, banyak istighfar dan memenjarakan lidah.”
Uzlah seperti ini adalah ibadah. Ada pun uzlah disertai maksiat, maka bergaul lebih baik dari uzlah bersama syaitan. Golongan salaf saling berpesan-pesan agar melazimi uzlah. Malik ibn Dinar berkata, “Tiga pesanan salaf ialah uzlah, banyak istighfar dan memenjarakan lidah.”
Uzlah lebih dapat memelihara
agama dari fitnah (kerosakan, kesesatan dan kekeliruan). Memelihara diri
daripada menghinakan diri kepada orang kaya, pemerintah dan golongan fasiq.
Ketika uzlah, seseorang dapat
memelihara lidah daripada umpat, cacian, namimah, qazaf, menipu dan lain-lain,
yang semua itu membatalkan amal salih. Uzlah juga dapat memelihara mata dari
melihat mungkar dan maksiat di pasar-pasar dan jalan.
Melihat dunia dan perhiasannya
mengajak kepada mengejarnya. Uzlah juga dapat menyelamatkan diri daripada
banyak godaan dan tarikan dunia.
Dengan uzlah selamat daripada
menemui orang yang hasad, dungu, pengejek, sombong, pengumpat dan orang yang
ujub. Ini sudah cukup besar dan sangat bermanfaat.
Tidak diterima ALLAH SWT?
Syarat uzlah ialah tafaqquh
terlebih dahulu iaitu mendalami ilmu tauhid, fiqh ibadah, ilmu akhlak, tafsir
dan hadis serta selok-belok ibadah. Ibrahim al-Nakha’ei (wafat 96H) berkata:
“Bertafaqquhlah terlebih dahulu kemudian hendaklah kamu beruzlah.”
Beliau beruzlah sehingga mati
menyelamatkan diri daripada kezaliman Hajjaj. Uzlah dan ibadah tanpa ilmu tidak
akan diterima oleh ALLAH SWT. Usaha mengumpulkan kitab perlu dilakukan sebelum
uzlah.
Dalam hidup Baginda SAW, bukan
uzlah sepanjang hayat. Uzlah dan mukhalatah (pergaulan) yang seimbang adalah
sunnah. Ada pun uzlah dalam tempoh yang panjang seperti al-Imam Malik (93-179H)
adalah disebabkan faktor peribadi, kesihatan dan keadaan.
Beliau dikatakan beruzlah selama
19 hingga 20 tahun sebelum kematiannya. Al-Imam Sufyan al-Thawri (97-161H)
beruzlah untuk menyelamatkan diri dan godaan dan ancaman pemerintah.
Antara adab uzlah ialah
meniatkannya untuk mencari reda ALLAH SWT dan menjauhi kejahatan manusia dan
menyelamatkan orang ramai daripada kejahatan dirinya (bukan menyelamatkan diri
daripada kejahatan orang ramai semata-mata kerana itu ujub), disertai puasa, zikir
dan fikir.
Tujuan uzlah ialah untuk
memusatkan hati dan fikiran mengingati ALLAH SWT sepenuhnya dan mengingati akhirat
serta beribadah, meninggalkan fikiran terhadap simpang siur dan hiruk-pikuk
dunia yang memperdaya.
Ingatan kepada kematian dan
persediaan untuknya tidak akan tercapai melainkan dengan uzlah dan di dalam
uzlah.
Bilakah halal uzlah?
Tidak syak lagi uzlah
mengurangkan pahala seseorang ahli ibadah kerana mengurangkan aktiviti jemaah
dan khidmat Muslimin. Tetapi menyelamatkan diri daripada dosa pergaulan lebih
utama dari mengejar fadilat dan pahala yang belum tentu diperolehi, melainkan
orang sabar, sopan dan peramah.
Mencari keselamatan lebih utama
daripada sekadar menambah pahala. Ketenangan dan keselamatan diri lebih utama
daripada memberi manfaat kepada orang lain dengan memudaratkan diri sendiri.
Tidak syak lagi pergaulan yang berlebihan mengundang dosa dan membahayakan
agama walaupun di masjid dan tempat pengajian.
Uzlah boleh menjadi wajib, sunat
dan makruh. Muslim yang kuat dan berani lebih baik berjihad. Seorang alim faqih
muhaddith lebih baik mengajar dan menulis daripada hanya beruzlah.
Wajib uzlah apabila berlaku tujuh
perkara iaitu:
- Apabila orang ramai menjadi hampas (huthalah iaitu sangat lemah agama, akhlak, akal dan maruah).
- Rosak amanah penuh sifat nifaq.
- Terlalu banyak khilaf dan perselisihan serta huru hara pembunuhan.
- Muncul penyakit shuhh muta’ iaitu bakhil serta tamak.
- Kikir harta dan makruf, hawa nafsu yang diikuti iaitu meninggalkan al-Quran dan hadis.
- Utamakan dunia melebihi akhirat (adakala membawa kufur).
- Ujub dengan pendapat sendiri.
Sumber: Sinar Harian