Seorang lelaki ditahan di hadapan Hotel Fuller yang terletak di Jalan Pintu Sepuluh, Alor Setar pada Khamis lalu kerana disyaki bertindak agresif dengan mengamuk menggunakan kayu besbol.
Aduan yang diperoleh dari orang ramai menjelaskan bahawa suspek dipercayai seorang peguam telah mengamuk dengan memukul beberapa kereta yang berhampiran dengannya menggunakan kayu besbol.
Suspek yang berusia lingkungan 40-an itu ditahan setelah dikejar beberapa kilometer oleh polis dan orang awam yang berada di sekitar kawasan tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya ada menerima aduan orang awam kira-kira jam 9.25 pagi mengenai kejadian amuk di hadapan kedai makan di Mergong Indah.
Namun sebaik anggota polis tiba di lokasi kejadian, suspek cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta mewah yang dipandu secara agresif melalui kawasan Jalan Suka Menanti, Jalan Gangsa dan Jalan Putra yang akhirnya berhenti di hadapan sebuah hotel.
Suspek tersebut turut bertindak menyerang polis dengan batang besi dan pisau ketika pihak berkuasa memujuknya untuk menyerah diri.
Pihak polis kemudian menerima panggilan dari seorang wanita yang mendakwa dirinya merupakan isteri kepada suspek dan menyatakan suaminya itu kurang siuman kerana mempunyai penyakit yang diwarisi daripada keluarganya.
Isterinya yang difahamkan turut bekerja sebagai pengamal undang-undang di Perlis menjelaskan bahawa suaminya bertindak begitu akibat terlupa memakan ubat yang diberi pihak hospital.
Suspek yang tidak berpakaian itu kemudian berjaya ditahan kira-kira jam 12 tengah hari dan dibawa ke Hospital Psikiatri Bakar Bata untuk pemeriksaan. -Norhayati Shaharun/KedahNews.com