Wanita DAP, Muslimat PAS Sertai "Gusti" MB Selangor


Pakatan Rakyat yang terkini berada di tahap "lampu merah berkedip-kedip" apabila sengketa di antara PAS dengan PKR dan DAP semakin memuncak dengan penyertaan "pelakon tambahan" dari sayap-sayap wanita parti itu.

Ketua wanita DAP, Chong Eng, semalam bertindak "lazer" mengecam hebat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkan menjadi dalang utama untuk meruntuhkan Pakatan Rakyat dalam edisi "gaduh teruk" kali ini.

Chong Eng mendakwa perangai Abdul Hadi sangat buruk dengan memberi alasan sering bertukar pendirian dan memberikan alasan yang tidak munasabah dalam hal menolak nama Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang tunggal.

“Perangai Hadi yang meragui kebolehan rakan dalam keadaan terbuka telah mencerminkan beliau tidak menghormati rakan-rakannya.

“Perangai beliau memecah belahkan PAS dan Pakatan Rakyat dalam isu ini,” kata Chong Eng, marah pada Presiden PAS itu.

Mendengar cemuhan Wanita DAP itu, "sepantas kilat" pula Timbalan Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Dr Rosni Adam bingkas membidas kenyataan Chong Eng sekaligus membela Abdul Hadi.

Kata Rosni, Wanita DAP perlu bersikap terbuka dalam menghadapi teguran atau kritikan dari rakan-rakan, termasuk dari PAS.

Rosni berkata, Muslimat PAS sudah lama sejak tahun 2008 lagi telah tidak percaya pada isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ekoran tindakannya meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang walaupun baru 6 bulan memegang jawatan tersebut di Parlimen.

Wan Azizah yang ketika itu Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh meletakkan kedua-dua jawatan tersebut pada 31 Julai 2008 semata-mata bagi memberi laluan peribadi pada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Pilihanraya Kecil Permatan Pauh.

Rosni menegaskan bahawa sejak itulah Muslimat PAS sudah hilang rasa percaya pada Wan Azizah.

"Apa jua alasan beliau ketika itu, rakyat telah hilang kepercayaan dan tidak dapat melihat keseriusan beliau sebagai pemimpin dan ahli politik dalam melaksanakan amanah pengundi yang mengundi beliau enam bulan sebelumnya,” katanya yang dipetik dari media pro-pembangkang, Malaysiakini.

Selain itu, Rosni juga mempertikai peranan dan pencapaian kerja Wan Azizah sebagai Ahli Dewan Undangan (Adun) Kajang yang dimenanginya dalam PRK "terancang" sebelum ini di mana isteri Anwar itu disifatkan sebagai tidak berkaliber serta tidak menepati ciri-ciri yang diharapkan.

"PAS khuatir jika prestasi sedemikian diteruskan, dan rakyat akan terus mempertikaikan kemampuan Pakatan melahirkan wakil rakyat dan MB yang berkaliber," bidasnya lagi.

Muslimat PAS itu berkata, setiap tindakan atau pendirian Presiden PAS itu punya alasan yang sangat kukuh dan semua pihak perlu menghormatinya. -KedahNews.com