Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menyerahkan faedah Skim Bencana Pekerjaan kepada waris mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 warga Malaysia yang terkorban dalam tragedi tersebut bermula kelmarin.
Waris yang layak menerima caruman perkeso tersebut terdiri daripada 15 anak kapal dan dua penumpang pesawat MH17.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata, nilai pencen yang bakal diterima oleh waris-waris mangsa berkenaan adalah bergantung kepada jumlah caruman dalam kadar anggaran RM475 hingga RM2,750 pada setiap bulan.
"Mereka yang layak memenuhi syarat skim,masing-masing menerima Skim Pencen Ilat dan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM1,500.”
“Nilai skim pencen itu bergantung kepada jumlah caruman kepada Perkeso pada setiap bulan dan dianggarkan kadar diterima diantara RM475 sehingga RM2,750 sebulan,” katanya.
Ujarnya lagi, Perkeso telah bertungkus-lumus bagi mempermudahkan urusan tuntutan tersebut supaya para waris dapat menerima faedah masing-masing dengan segera.
Kadar pencen bulanan akan dikira bermula dari tarikh mangsa MH17 mencarum sehingga tragedi itu berlaku. Kenyataan ini diberitahu oleh Datuk Seri dalam majlis taklimat media berhubung Inisiatif Strategik Pembaharuan Pembangunan Modal Insan kelmarin.
Riot juga berterima kasih kepada para pegawai Perkeso dan MAS yang terlibat dalam urusan tersebut atas usaha kerja keras untuk menghubungi waris-waris mangsa terbabit.
Pada kejadian bertarikh 17 Julai yang lalu, pesawat MH17 yang membawa seramai 298 penumpang dan anak kapal terhempas di timur Ukraine selepas dipercayai ditembak jatuh oleh puak pemisah pro- Rusia.
Pesawat jenis Boeing 777-200 itu membawa seramai 43 rakyat Malaysia dan sehingga kini, sebanyak 33 jenazah telah dibawa pulang ke tanah air untuk disemadikan di kampung halaman masing-masing. -Norhayati Shaharun/KedahNews.com