Zed Zaidi Kembali Menjadi Presiden Seniman


Hulu Klang – Zed Zaidi kembali dilantik menjadi Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) apabila menerima undian tertinggi dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-14 diadakan di Dataran Karyawan FINAS, Kompleks Studio Merdeka, semalam.

Dalam pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Presiden, Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jalil telah menewaskan dua lagi calon iaitu Datuk Mustapha Maarof dan Afdlin Shauki.

Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Presiden, pelakon dan penyanyi Zulkifli Mohamad atau Zack Kool telah berjaya menewaskan Datin Sofia Jane, Sabree Fadzil dan Afdlin dalam pertandingan empat penjuru.

Seramai 1,000 ahli Seniman hadir dalam mesyuarat tersebut tetapi 252 ahli dilaporkan layak mengundi.

Menurut laporan yang dipetik Berita harian, pada awal pemilihan, keadaan dilihat agak tegang kerana ada ahli yang mempertikaikan kredibiliti calon bertanding tetapi ia masih berjaya dikawal sehingga keputusan diumumkan. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor