25 Kampung Melayu, Rakyat Telah Dihapuskan Guan Eng?

Tindakan kerajaan P.Pinang dibawah pentadbiran Lim Guan Eng yang dilihat seolah-olah cuba menghapuskan perkampungan Melayu dan penempatan warisan bagi memberi laluan kepada perumahan mewah disekitar negeri ini mula dipersoal oleh pemimpin Cina dari Parti Gerakan.

Menerusi Setiausaha Gerakan negeri, Oh Tong Keong dalam satu kenyataan berkata bahawa tindakan kerajaan negeri yang mengabaikan permasalahan penduduk di beberapa kawasan yang terlibat dilihat seolah-olah dasar yang diguna pakai Guan Eng lebih memihak kepada pemaju perumahan sehinggakan lebih kurang 25 buah kampung bakal dan telah lenyap ditelan projek-projek perumahan mewah.

"Berdasarkan rekod, sebanyak 25 buah kampung bakal dan telah hilang akibat kelulusan yang diberikan untuk melaksanakan projek mega. Antaranya termasuk Kampung Siam di Pulau Tikus, Kampung Pokok Asam di Jelutong, Kampung Batu Uban di Gelugor, Kampung Binjai di Bayan Lepas serta banyak lagi."

"Ini menunjukkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengamalkan dasar propemaju sejak mentadbir negeri ini," ujar beliau kepada media.

Teong ketika diminta mengulas tentang nasib penduduk dipenduduk Kampung Mutiara di Batu Feringghi yang bakal diusir berkata bahawa tindaka yang tidak berperikemanusiaan ini telah membuktikan bahawa kerajaan negeri pimpinan Guan Eng memang gemar 'membersihkan' perkampungan warisan di negeri ini.

"Kejadian di Kampung Mutiara itu hanya menambah lagi 'rekod' Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam 'membersihkan' kampung warisan di negeri ini selepas beberapa kejadian serupa sejak 2008. " tambah beliau lagi.

Mengulas lanjut isu ini, beberapa media utama sebelum ini melaporkan keluhan kira-kira 200 penduduk Kampung Mutiara, Batu Feringgi dimana mereka telah diarahkan untuk mengosongkan kampung berkenaan .

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung berkenaan, Ismadi Abu Bakar yang sempat ditemui berkata bahawa mereka kini dalam dilema dan berharap pihak berwajib tampil untuk membantu mereka dalam permasalahan ini memandangkan mereka merupakan penduduk asal di sini.

"Sehubungan itu, kami meminta pihak berkuasa campur tangan bagi membantu penduduk di sini yang tersepit. Majoritinya adalah penduduk asal di Batu Feringgi dan ke mana kami hendak berpindah selepas ini," ujar Ismadi kepada media.-UtaraNews.com