26,000 Tiket "Lesap"? Ini Jawapan KFA... #Hijaukuning @MEDIAKFA #PulunKedahPulun

Hijau Kuning dulu, kini dan selamanya...
Sebelum ini, terdapat segelintir peminat skuad bola sepak Kedah yang meluahkan rasa tidak puas hati dan mempertikai tentang perihal penjualan tiket perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara  pasukan Kedah bertemu Pahang di Stadium Darulaman pada 19 Oktober lalu.

Mereka mendakwa tidak jelas mengenai 26,000 tiket yang diperuntukkan bagi perlawanan tersebut "lesap" dalam tempoh sejam sahaja sejak kaunter di stadium itu dibuka.

Nampaknya Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak menunggu lama untuk menjawab pertikaian para peminat Hijau Kuning yang kecewa itu dengan memberikan maklum balas yang boleh dianggap tidak mengecewakan.

Berikut adalah jawapan penuh secara panjang lebar yang dipetik dari laman Facebook rasmi KFA bagi persoalan yang dilontarkan itu;
ISU TIKET KEDAH x PAHANG: APA YANG SEBENARNYA BERLAKU 19 OKTOBER LEPAS?
Insiden tiket yang laris seperti pisang goreng panas dalam tempoh kira-kira 1 jam membuka mata banyak pihak dan tidak terlepas andaian dan tuduhan berleluasanya ulat tiket dan ketirisan tiket perlawanan tersebut sebelum dijual dikaunter Stadium Darul Aman 19 Oktober lepas.

Pihak Media KFA telah menjalankan siasatan terhadap isu ini melalui rujukan sumber persatuan, maklumbalas peminat, temuramah individu dan juga mendapatkan maklumbalas dari FAM serta pihak berkuasa yang berkaitan.

Sebelum hasil siasatan ini dibincangkan lebih lanjut,semua pihak perlu tahu ada beberapa isu bagi memberi kefahaman yang lebih jelas sebelum berlakunya andaian yang tidak ada kaitan contohnya, tiket kehabisan disebabkan adanya ‘ulat’ tiket, pihak KFA tidak amanah dan tidak bertanggungjawab menjual kepada pihak ketiga, ketirisan yang berlaku di belakang kaunter tiket jualan dan sebagainya.

Sebelum perbincangan dilanjutkan, ada dua isu besar:

Isu pertama adalah berkenaan bagaimana tiket perlawanan 19 Oktober lepas habis dijual dalam masa 1 jam?


Isu kedua timbulnya bagaimana membanteras ulat tiket yang kembali bermaharajalela pada hari perlawanan dan juga dikatakan punca tiket cepat habis dijual?


ISU 1: BAGAIMANA TIKET PERLAWANAN KEDAH X PAHANG CEPAT HABIS DIJUAL?
STATISTIK

Melalui semakan dan analisa pembahagian kuantiti keseluruhan , tiket yang telah dikeluarkan oleh KFA adalah 26,000 keping tiket. Persoalannya bagaimanakah 26,000 tiket ini dijual? Statistik jualan tiket yang dikeluarkan oleh Unit Jawatankuasa Tiket KFA adalah seperti berikut:


JUMLAH TIKET: 26,000 KEPING
Tempahan oleh Persatuan/Kelab Gabungan/Penaja-Penaja: 6,000 keping
Tempahan utk penyokong pasukan Pahang: 1,000 keping
Baki yang dijual di kaunter stadium: 19,000 keping 


Ini bermakna tiket yang dijual di kaunter tiket pada hari perlawanan 19 Oktober lepas adalah 73% dari 26,000 keping keseluruhan jumlah tiket. Selebihnya hanya 27% ditempah awal dengan kebenaran pihak Jawatankuasa Tiket KFA. Turut dimaklumkan juga tempahan berkumpulan melalui ahli gabungan dan penaja turut dihadkan bagi memberi peluang kepada semua penyokong dari semua peringkat lapisan rakyat dapat membeli tiket pada hari perlawanan.

JADI BAGAIMANA PULA 19,000 KEPING TIKET HABIS CEPAT DIJUAL?

Jumlah 19,000 keping tiket yang dijual di stadium dibahagikan 4 kaunter iaitu Kaunter A2, B, D dan F dengan setiap kaunter 3 laluan pembelian dibuka. Ini bermaksud 12 laluan dibuka pada hari perlawanan bagi penyokong untuk mendapatkan tiket yang dijual bermula jam 10:00 pagi.

Secara purata setiap laluan akan menjual 1,583 keping tiket. Memandangkan sebelum ini setiap pembeli dihadkan kepada 10 tiket, pihak JK Tiket KFA merasakan jumlah tersebut perlu dikurangkan bagi memberi ruang lebih banyak pihak dapat membeli tiket dan keputusan yang diambil akhirnya menghadkan setiap orang dibenarkan untuk membeli 5 tiket. Dengan had maksimum seorang 5 tiket sahaja, hanya 317 orang yang pertama dalam setiap laluan sahaja akan dapat membeli tiket tersebut.

Dalam keadaan permintaan yang tinggi dalam perlawanan tumpuan pada 19 Oktober lepas mustahil untuk menganggap setiap pembeli hanya membeli 1 tiket. 

Berbalik kepada tempoh masa jualan tiket yang mengambil masa sekitar 45 minit ke 1 jam untuk habis dijual, purata seorang akan mengambil masa lebih kurang 10 saat untuk membeli tiket, masa yang diperlukan untuk menjual semua tiket adalah hanya 52 minit sahaja. Dengan had tiket yang telah dimaklumkan lebih awal dan harga tiket yang telah diketahui sudah tentu penjualan lebih efisyen dan masa yang diambil oleh setiap penyokong mungkin lebih cepat dari anggaran 10 saat setiap penyokong.

KESIMPULAN:

Melalui kajian dan semakan rekod persatuan serta beberapa faktor diambil kira, bolehlah dibuat kesimpulan adalah logik dan tiada yang luarbiasa apabila insiden tiket cepat habis dijual menjadi bualan penyokong dan media. Cadangan penambahbaikkan jangka pendek dimasa hadapan untuk mengelakkan penyokong kecewa hadir pada hari perlawanan adalah dengan pihak jawatankuasa Tiket KFA menjual sehari lebih awal dari hari perlawanan bagi memastikan kelancaran penyokong yang merancang untuk ke stadium dan dapat memberi info awal berkenaan kedudukan tiket dan sudah pasti isu keselamatan pada hari perlawanan lebih terjamin dengan tiada insiden provokasi penyokong yang tidak sabar untuk masuk ke stadium.

Dengan kehadiran ramai penyokong yang tidak dapat membeli tiket 19 Oktober lepas, berlaku sedikit provokasi dengan isu vandalisme dan hampir merosakkan harta benda awam, justeru tindakan drastik diambil dengan membuka pintu masuk stadium dibahagian teres di separuh masa kedua. Tayangan layar gergasi turut dibuat di kawasan terbuka bagi memberi peluang penyokong yang tidak dapat menonton secara langsung di stadium turut sama merasai kemeriahan. Cadangan jangka panjang mungkin pihak Perbadanan Stadium Kedah dan KFA dapat memikirkan satu perancangan teliti dengan menambah kapasiti stadium supaya lebih ramai penyokong berpeluang menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan hijaukuning.

ISU 2: ULAT TIKET PUNCA TIKET HABIS DIJUAL?
SIAPAKAH ULAT TIKET


Isu ejen jualan tiket tidak sah atau lebih dikenali sebagai ‘ulat’ tiket kembali bermaharajalela di Stadium Darul Aman sejak perlawanan akhir peringkat kumpulan ketika Kedah menentang Perak 3 September lepas. Aktiviti mereka semakin galak ketika suku akhir dan juga separuh akhir lalu di perkarangan Stadium Darul Aman. 

Melalui tinjauan rambang, pihak kami sendiri menyaksikan ulat tiket ini berani menjual tiket dikawasan awam terutamanya dipintu masuk dan didepan pihak berkuasa sendiri dengan menyasarkan pembeli yang begitu terdesak untuk mendapatkan tiket memandangkan tiket telah habis dijual dikaunter. 

Persoalan sebenar adalah bukan setakat isu menjual kembali tiket tetapi ‘ulat’ tiket ini menjual tiket dengan harga sekali ganda dan harga ini semakin melambung tinggi di suku akhir dan separuh akhir yang lepas. Jika ia dijual kembali dengan harga sebenar jualan sudah pasti isu ulat tidak akan timbul. Perbincangan lanjut berkenaan isu ini perlu dilihat dalam beberapa aspek untuk membanteras aktiviti yang tidak beretika ini.

ADAKAH ULAT TIKET INI DAPAT DIBANTERAS MELALUI PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG?

Banyak pihak menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak mengambil tindakan ke atas ulat tiket ini kerana dianggap sebagai pihak yang menyebabkan tiket habis dijual dalam masa singkat dan merupakan punca utama pihak yang membeli tiket secara banyak sama ada dari sumber dalaman atau dari kaunter. Beberapa rujukan dan maklumbalas telah diambil bagi menjelaskan isu ini. 

Rujukan yang dibuat kepada FAM melalui Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, isu ulat tiket ini sebenarnya telah dirujuk kepada SPRM dan PDRM untuk tindakan lanjut. Tiada kes berkenaan ulat tiket sehingga kini! Banyak laporan yang diterima adalah berkenaan jualan tiket kembali kepada penyokong dengan harga yang tinggi. Untuk makluman setakat ini tiada peraturan atau undang-undang yang menghalang aktiviti sedemikian dalam membanteras aktiviti tidak beretika sama ada dari mana-mana peraturan FAM atau undang-undang. Jadi penguatkuasaan untuk membanteras isu bermusim ini dingin kerana tiada kuasa perundangan.

Isu jualan ini sebenarnya adalah isu permintaan dan penawaran yang dipersetujui kedua-dua pihak penjual dan pembeli. Jika tiada permintaan tinggi tiadalah penjual yang cuba mengambil peluang. Dengan suasana bolasepak ketika ini, ulat tiket sudah pasti mengambil peluang. Malah setakat ini tiada rekod atau statistik membabitkan ulat tiket ini memandangkan secara perundangannya ia bukanlah satu kesalahan. Isu ini akan sedikit berbeza jika tiket yang dijual oleh ulat ini adalah tiket tiruan.

Tinjauan rambang juga ulat tiket ini dianggarkan secara keseluruhan menjual sekitar 500 keping atau 1-2% tiket sahaja yang dikeluarkan pada hari tersebut. Jadi untuk mengatakan punca sebenar tiket kehabisan awal bukanlah faktor utamanya dengan kehadiran ulat tiket ini tetapi adalah kerana kehadiran penyokong yang ramai hadir untuk membeli tiket lebih awal.

KESIMPULAN:

Isu ulat tiket ini harus diperhalusi dengan semua pihak perlu bekerjasama. Dicadangkan supaya Unit JK Tiket KFA lebih berhati-hati dalam mengeluarkan tiket berkumpulan dan memastikan hanya pihak yang sah sahaja diberi kebenaran untuk membuat tempahan. Pastikan juga ada pemantau bebas semasa jualan tiket di kaunter tiket pada hari perlawanan tumpuan untuk mengelakkan ketirisan.

Apapun isu ini janganlah dilihat sebelah mata dengan hanya menyalahkan pihak yang mengeluarkan tiket, tetapi penyokong atau pembeli itu sendiri turut sama membantu membanteras aktiviti tidak beretika ini dengan membeli tiket dari penjual jalanan seperti ulat tiket ini kerana sebenarnya itulah faktor utama kenapa ulat tiket ini berleluasa kerana penyokong tetap membeli tiket dengan harga mahal. Tiada pembelian bermaksud kuranglah kuasa penawaran dari ulat tiket ini. Apapun semua pihak perlu berganding bahu membanteras ulat tiket ini. Pihak persatuan akan memastikan ketirisan tiket dapat dikawal manakala penyokong perlu turut serta dengan tidak membeli dari ulat tiket ini.

Manakala FAM sebagai badan induk dan penganjur pertandingan tempatan perlu memikirkan mekanisme yang sesuai untuk memastikan gejala ini tidak menjadi kebiasaan jika kurangnya penguatkuasaan.

DARI MEJA PENULIS:

Penjelasan ini bertujuan untuk memberi kefahaman bahawa ada beberapa isu perlu diberi perhatian dan perlu diperhalusi supaya penyokong dan semua pihak tidak terkeliru dengan peristiwa jualan tiket yang habis dijual dalam masa singkat. Adakah berlakunya kepincangan? Salah ulat tiket? Persatuan tidak telus? 

Kajian dan analisa di atas adalah berdasarkan usaha tanggungjawab pihak Media KFA memberi penerangan lebih lanjut dan melihat apakah isu sebenar dan adakah betul telahan seperti digembar gemburkan oleh penyokong dan semua pihak. Semoga artikel ini mampu memberi gambaran sebenarnya. 

Secara keseluruhan, ini adalah satu petanda baik kerana penyokong kembali memenuhi stadium. Teruskan sokongan anda dan teruskan menyokong bolasepak tempatan.

PLAY WITH HEART. PULUN KEDAH PULUN.
KedahNews.com mengucapkan syabas kepada kedua-dua pihak sama ada peminat Hijaukuning yang tidak putus-putus memberi sokongan pada kepada skuad kesayangan rakyat Jelapang Padi itu, dan pihak KFA yang tidak cepat "melatah" serta memberi maklum balas yang jelas tidak mengecewakan.

Kami sebagai portal media di bumi Jelapang Padi ini tetap menyanjung tinggi semangat dan kerjasama antara dua pihak yang menjadi nadi kecemerlangan skuad Lang Merah serta akan memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada semua.

Pulun Kedah Pulun, dan KedahNews.com pasti bersama hingga ke akhirnya...

Jadi, tengok video dibawah dan tolong buka "sound" kuat-kuat, PASTIKAN "BERGEGAQQQ"!