JOHOR BAHRU – Sambutan Maal Hijrah 1436H dicemari dengan kegiatan
tidak bermoral segelintir pasangan yang disyaki berkhalwat di
hotel-hotel bajet sekitar kawasan Skudai.
Dalam operasi melibatkan 10 anggota dan pegawai dari Bahagian Penguat
Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) awal pagi semalam, empat
pasangan ditahan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jaij, Mohd Zamri
Kambari berkata, kesemua empat lelaki dan empat wanita terbabit ditahan
sepanjang serbuan jam 11 hingga 2 pagi itu.
Menurutnya, kesemua individu tersebut ditahan mengikut Seksyen 27
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997 kerana disyaki melakukan
khalwat.
“Pada malam ini, biasanya ramai orang bercuti dan ambil kesempatan,
jadi kita membuat operasi dengan memberi tumpuan di sekitar Taman
Universiti serta Taman Ungku Tun Aminah iaitu hotel bajet.
“Tujuan operasi adalah membanteras dan mencegah maksiat di
hotel-hotel selain membersihkan imej sektor perhotelan daripada
tanggapan negatif masyarakat bahawa premis berkenaan banyak mengundang
gejala tidak bermoral,” katanya.
Mohd Zamri menasihatkan masyarakat Islam tidak pergi ke hotel untuk
tujuan membuat perkara tidak bermoral khususnya perbuatan melanggar
hukum Islam.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah
untuk proses dokumentasi sebelum ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Jaij
bagi tindakan lanjut.
Dalam serbuan dilakukan, seorang wanita berusia 24 tahun meminta
pihak berkuasa agar tidak melibatkan keluarganya sejurus didapati
berkhalwat bersama lelaki Indonesia.
Dia yang ditemui dalam keadaan hanya bertuala putih sementara
pasangannya berusia 37 tahun dan berpakaian lengkap bagaimanapun memberi
kerjasama ketika disoal siasat.
Wanita itu dipercayai baharu sahaja kenal dengan lelaki warga asing
terbabit yang mendakwa bekerja di Batu Pahat sebagai pembawa bot. – Sinar Harian