Abby Tak Mahu Cerita Tentang "Ustaz Istimewa" Lagi...


Kuala Lumpur - "Isu lebih penting sekarang misi saya menyelesaikan kes dengan Farhan (bekas suami) untuk menuntut hak saya," kata bekas pelakon dan kini "pendakwah" bebas Abby Abadi mengenai luahan istimewa terhadap lelaki dikenali sebagai Khairul Azli di Instagram baru-baru ini yang disalah ertikan sebagai hubungan cinta.

Abby atau nama sebenarnya Arbaieyah Abdul Manan, 37, yang dihubungi berkata, dia tidak mahu bercerita lanjut mengenai Khairul kerana sudah memberikan penjelasan berhubung status sebenar hubungannya dengan lelaki berusia 32 tahun itu di Harian Metro sebelum ini.

“Yang pasal Khairul itu saya beri penjelasan (di Instagram) sebab cerita yang tersebar di blog (mengenai kami) tidak tepat.

Saya beri penjelasan itu dengan niat dapat hentikan fitnah bila mereka tahu cerita sebenar.

"Bagi saya kes Farhan itu lebih penting.

"Saya perlukan bantuan supaya dapat hentikan fitnah dan menuntut hak saya,” katanya.

Luahan istimewa Abby terhadap Khairul berserta beberapa keping gambar mesra mereka di Instagram ketika meraikan sambutan hari lahir Khairul, baru-baru ini menarik perhatian umum sekali lagi apabila segelintir pihak mendakwa pasangan itu bercinta.

Terdahulu, menerusi laporan Harian Metro pada 9 September lalu, Abby menegaskan lelaki yang digelar ustaz itu adalah teman baik yang sudah dikenali sejak beberapa tahun lalu.

Selain meminta agar spekulasi mengenai persahabatannya dengan Khairul dihentikan bagi mengelakkan kekeliruan, Abby turut berkata, lelaki itu adalah guru mengaji Al-Quran yang mengajarnya dan anak-anak.

Sementara itu, Abby yang masih belum dapat bersemuka dengan bekas suami, Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, berikutan tuntutan wang berjumlah lebih RM20,000 terpaksa membuat laporan polis pada 25 Ogos lalu di Balai Polis Taman Melawati.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini lelaki itu masih tidak tampil ke depan tetapi sebaliknya menyerang kenyataan Abby dengan pelbagai tuduhan di laman sosial.

Abby berkata, keutamaannya ketika ini adalah mencari bekas suami, Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, secepat mungkin bagi menyelesaikan isu mereka yang masih tertangguh. -myMetro