Pelakon Adlin Aman Ramlie meluahkan rasa kesal apabila telefilem
biopik Saloma siaran Astro First yang turut memaparkan kisah ayahnya,
Allahyarham AR Tompel, kebanyakannya berunsur tohmahan selain banyak
kesalahan fakta.
Adlin berkata, telefilem yang diterbitkan oleh syarikat produksi Kus
Semangat Aktor milik Melissa Saila itu sekali gus menjejaskan semua
nilai dan tanggapan murni masyarakat terhadap AR Tompel, seolah-olah
ayahnya itu menjadi punca Saloma menderita.
"Telefilem itu telah memberi impak buruk kepada waris-waris AR Tompel,
termasuklah saya sebagai anaknya. Malah saya percaya, peminat-peminat
setia ayah juga pasti terkilan selepas menontonnya.
"AR Tompel telah dieksploitasi oleh pihak penyiar, penulis, penerbit,
pengarah dan pelakon dalam pelbagai nada prejudis malah berunsur kecaman
yang telah mengaibkan sehingga mampu menjejaskan kredibiliti dan
reputasinya," katanya yang menghubungi mStar Online di sini pada Selasa.
Telefilem yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Mencuri Guruh dan Pandang Kaseh telah disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif bermula 28 Ogos lalu.
Ia menampilkan pelakon Nabila Huda sebagai Saloma, Tony Eusoff (Tan Sri
P. Ramlee), Azhan Rani (A.R. Tompel), Sazzy Falak (Mariani) dan Sharifah
Amani (Siput Sarawak).
Tambah Adlin, pihaknya yang diwakili peguam dari Azam & Co telah pun
mengambil tindakan awal menerusi penghantaran notis kepada Astro agar
telefilem itu segera dihentikan.
Bagaimanapun tiada respons yang diberikan.
Justeru, satu sidang media akan diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem
Nasional Malaysia (Finas) pada petang Khamis (esok) bagi mendapat
liputan umum berkenaan isu tersebut.
"Memandangkan notis yang diberikan sebelum ini tiada respons, maka saya
bersama waris-waris AR Tompel yang lain akan mengambil tindakan
seterusnya.
"Pihak kami akan menjelaskan lebih terperinci berkenaan perkara ini pada sidang media nanti.
"Tambahan pula telefilem itu tidak mendapat kebenaran daripada mana-mana
waris untuk memaparkan kisah ayah saya dan perwatakannya telah
dipersembahkan tanpa dirujuk daripada sumber yang sah," tegasnya.
Pada sidang media tersebut, waris lain AR Tompel iaitu AR Badul, Amran
Tompel serta dua isteri seniman itu, Ruminah Sidek dan Zaiton Ismail
akan hadir. -mStar