Semua tujuh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berada
di dalam bot tempur yang hilang sejak pagi Ahad ditemui selamat.
Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menerusi tulisannya di
Twitter berkata, Leftenan Azri Bakar yang mengetuai bot tempur (CB204)
itu memaklumkan kepada kapal milik tentera laut, KD Ganas bahawa bot dan
semua kru selamat.
“Leftenan Azri, memaklumkan bahawa KD Ganas melalui (frekuensi radio)
saluran 16 bahawa bot dan semua warga (kru) selamat tetapi kelaparan.
Alhamdulillah.
"Bot telah dijumpai oleh pada pukul 6.49 petang," katanya di akaun
Twitternya @ChiefofNavy pada kira-kira pukul 6.05 petang Isnin.
Sementara itu, TLDM di Twitter (@tldm_rasmi) pula berkata: "Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang mendoakan keselamatan #CB204 dan kepada semua yang membantu dalam operasi SAR (mencari dan menyelamat)."
Bot tempur yang dinaiki tujuh kru diketuai Leftenan Azri Bakar
terputus hubungan dengan kapal pengiring KD Paus semasa dalam perjalanan
ke Stesen LIMA TLDM di Terumbu Layang-Layang, Sabah.
Dalam satu kenyataan malam Ahad, Abdul Aziz berkata, bot tempur itu
belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 5 pagi Ahad sebelum
terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring tersebut pada
11.15 pagi. -mStar