PUTRAJAYA – Bonus kakitangan awam yang diumumkan pada pembentangan
Bajet 2015 minggu lalu akan dibayar bersama gaji Januari 2015, kata
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata, bonus berkenaan tidak boleh diawalkan atau dibayar pada tahun ini atau tahun sebelumnya.
“Bonus ini diluluskan dalam Bajet 2015. Jadi kalau kita lihat dari
segi peraturan kewangan ia sepatutnya bermula (dibayar) pada 1 Januari
2015.
“Bonus akan masuk dalam gaji bulan Januari,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.
Ali berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Kongres
Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada Isnin
supaya kerajaan membuat pembayaran bonus kepada penjawat awam pada 15
Disember dan bukannya Januari depan.
Presiden CUEPACS, Azih Musa, berkata langkah itu bagi membolehkan
penjawat awam membuat persediaan persekolahan anak sekali gus
meringankan beban kewangan mereka.
“Memandangkan musim baharu persekolahan bermula pada Januari, kita
minta supaya bayaran bonus dibuat lebih awal iaitu pada 15 Disember
untuk membantu ibu bapa menyediakan persiapan persekolahan anak-anak,”
katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Bajet
2015 pada Jumaat lalu, mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji
atau minimum RM500, kepada kira-kira 1.5 juta penjawat awam pada
Januari.
Pesara kerajaan pula diberi bantuan khas sebanyak RM250. – BERNAMA