Bekas Pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan mendakwa kerajaan mempunyai agenda tersembunyi untuk memecahbelahkan rakyat melalui dasar pendidikan kerana mempromosikan perkauman.
Dalam forum bertajuk "Punca arus perkauman dalam negara kita" di Petaling Jaya baru-baru ini, Ambiga menuduh kerajaan mempunyai agenda di sebalik usaha meluaskan jurang kaum melalui pendidikan di sekolah melalui polisi "pecah dan perintah".
"Mereka mungkin menubuhkan NUCC (Majlis Perundingan Perpaduan Nasional) dan mereka boleh melakukan banyak perkara tetapi sebenarnya terdapat usaha bersepadu memecah belah kaum. Itulah yang kita sebagai rakyat Malaysia perlu tentang,
"Akhirnya ia adalah mengenai kuasa. Ia mewujudkan warganegara kelas pertama dan kedua di Malaysia."
Ambiga yang kini penaung pertubuhan Negara-Ku, berkata, sistem pendidikan Malaysia telah memainkan peranan besar dalam mewujudkan mentaliti ini di kalangan golongan muda dan ia berlaku di sepanjang masa persekolahan mereka,
"Ia adalah sistem yang dimasukkan ke dalam tempat di mana orang Melayu diberitahu dan difahamkan bahawa mereka adalah lebih baik, yang lain adalah semata-mata 'pendatang'.
"Dan ini berterusan sepanjang hidup persekolahan mereka. Kemudian kita cuba untuk memperbaikinya melalui program Khidmat Negara apabila mereka berumur 18 tahun selepas mereka selesai sekolah. Tetapi kerosakan yang terlalu banyak telah berlaku pada masa itu," kata Ambiga yang dipetik dari The Malaysian Insider.
Selain itu, Ambiga juga berkata ini merupakan taktik kerajaan untuk membuatkan Melayu dan Islam diserang secara berterusan.
"Kita juga mempunyai menteri yang berkata begitu. Jadi 65% penduduk diserang oleh 35% daripada penduduk? Bagaimana ia mungkin? Ia tidak masuk akal,
"Tetapi malangnya, apabila indoktrinasi berlaku berterusan, itulah yang dirasai oleh orang ramai dan itulah sebabnya mengapa orang fikir ia adalah wajar untuk membuat kenyataan perkauman seperti yang mereka lakukan," katanya lagi.
Ambiga yang juga merupakan seorang peguam itu turut mendakwa bahawa kerajaan telah memanipulasi sejarah dan dijadikan silabus wajib pembelajaran di peringkat sekolah kerana mahu memberi gambaran jasa yang pernah dilakukan mereka kepada kaum lain.
"Mereka cuba untuk menukar latar belakang budaya dan sejarah kita untuk mengurangkan peranan bukan Islam,
"Kita perlu berhati-hati dengan apa yang anak-anak kita belajar. Mari kita pinta kajian ke atas sistem pendidikan,
"Kita mesti membantah yang taksub, perkauman dan berasaskan pembohongan itu dari diajar kepada kepada anak-anak kita. Kita perlu bersuara," katanya lagi. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com