Sejak akhir-akhir ini, ramai benar yang gemar berkongsi gambar-gambar lucu, pelik dan sebagainya melalui medium aplikasi Whatsapps, terutama gambar makanan yang terhidang di depan mata.
Namun yang terbaru, sekeping gambar seorang budak lelaki yang dikatakan berusia 4 tahun begitu viral menjadi bahan lelucon pengguna aplikasi komunikasi itu.
Adik tersebut dikhabarkan hilang dalam premis Ikea di Mutiara Damansara.
Ya, memang premis gedung membeli belah kelengkapa rumah itu luas dan anak-anak yang tidak diawasi mungkin hilang dengan agak mudah.
Ceritanya, adik berkenaan dijumpai sedang selamba membuang air besar di salah satu mangkuk tandas yang dipamerkan di ruang pameran gedung tersebut! Apa lagi? Kecohlah!
Mungkin budak lelaki seawal usia 4 tahun itu belum dapat membezakan tempat membuang air besar yang benar-benar disediakan untuk melepaskan hajat berbanding bertujuan untuk pameran sahaja.
Namun, kejadian seperti ini rasanya akan membuka minda ibu bapa supaya lebih berhati-hati dalam memberi perhatian kepada anak-anak berbanding sibuk ber"shopping" sampai lupa dunia, kan?
Selain itu, kami mohon sangat-sangat kepada seluruh pengguna aplikasi Whatsapps atau seumpamanya supaya mengkaburkan bahagian wajah, mata dan berkaitan bagi mengelak individu yang dijadikan "bahan" itu diaibkan.
Maklumlah, bila identiti individu itu dimuat naik ke internet, berkemungkinan besar imej berkenaan akan kekal di ruang maya itu untuk selama-lamanya, bukan?
Jadi, untuk mengelak bahan lelucon itu memalukan individu itu seumur hidup, adalah wajar identitinya dikaburkan.
Bayangkan jika diri kita di tempat budak lelaki berusia 4 tahun itu. Apakah sanggup kita menanggung malu menyaksikan gambar kita sedang membuang air besar di Ikea terpampang mengaibkan?
Apa reaksi anak isteri budak lelaki itu kelak agaknya?
Mujurlah kami difahamkan sumber bahawa gambar berkenaan sebenarnya bukan berlaku di Ikea Mutiara Damansara, sebaliknya berlaku di gedung menjual peralatan rumah terkenal di Amerika Syarikat, Lowe’s, dan telah beredar di internet sejak tahun 2013 lagi.
Harap betulkan minda dan persepsi sebelum sebarkan sesuatu yang menjadi bahan lelucon kita pada masa akan datang. Wallahu'alam. -KedahNews.com