Artis Janda Anak Dua Pula Diugut Bunuh!

Pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 38, membuat satu laporan polis selepas diugut bunuh oleh pengikut di Instagram milik bekas suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 27,  menerusi satu status yang dimuat naik Jumaat lalu.

Laporan yang dibuat di Balai Polis, Jalan Tun Razak dekat sini pada Sabtu lalu itu antara lain meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemilik akaun Instagram bernama ‘Hanifhafizul’ yang telah menimbulkan ketakutan Rita berhubung status ugutan bunuh.

“Pemilik akaun itu mengugut untuk membunuh saya selepas Aidil memuat naik resit pindahan wang nafkah anak-anak kami yang dilakukannya dengan kapsyen bertujuan menimbulkan rasa benci pengikut-pengikutnya kepada saya.

"Jadi… saya perlu melakukan seusatu kerana bimbang dengan ugutan berkenaan selain untuk menjaga keselamatan diri,” katanya kepada mStar Online menerusi mesej aplikasi sosial WhatsApp di sini pada Ahad.

Ini adalah bukti Rita membalas mesej-mesej kiriman Aidil dan Rita terkejut bagaimana bekas suaminya itu mengatakan sebaliknya.
Berdasarkan laporan polis berkenaan, pemilik akaun itu antara lain telah menulis cadangan meminta Aidil agar mengupah orang untuk membunuh Rita bagi menyelesaikan masalah mereka berdua.

Status berkaitan bunuh itu terus dipanjangkan apabila pemilik akaun tersebut menasihati Aidil agar pada masa depan merancang dapat membunuh dan tidak memberikan Rita peluang untuk  hidup.

Rita berkata, status paparan skrin yang dimuant naik Aidil itu berjaya meracuni pengikut Instagramnya untuk membenci Rita selain ia satu penghinaan kepada seorang wanita yang telah melahirkan dua orang anak hasil perkahwinan mereka yang sah.

Dalam pada itu diminta komennya mengenai paparan skrin resit pembayaran nafkah berjumlah RM2,000 itu Rita berkata, selama ini dia tidak  pernah mengatakan Aidil gagal memberi nafkah kepada anak sebaliknya kegagalan Aidil berhubung hak sebagai seorang suami kepada isteri semasa mereka belum bercerai.

“Saya sangat kesal dengan tindakan Aidil sehingga boleh membiarkan nyawa saya diancam hanya kerana saya menuntut hak saya sebagai isteri yang tidak diberikan oleh Aidil.

“Saya juga tidak pernah mengatakan Aidil gagal memberi nafkah kepada anak-anak tetapi apakah ia cukup dengan mengirimkan wang sahaja bagi menyatakan kesempurnaan tanggung jawab seorang bapa tanpa menjenguk anak-anaknya?” soal Rita.

Aidil dan isterinya, Zarema. Foto dari Instagram milik Aidil.
Mengenai status papran skrin berasingan Aidil dalam Instagram yang mendakwa Rita tidak menjawab mesej yang dikirimkannya untuk mengetahui perkembangan anak, wanita ini turut mendedahkan ia adalah tuduhan tidak benar.

Sambil memberikan bukti paparan skrin mesej perbualan mereka Rita berkata, seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha lalu dia ada mengirim mesej kepada Aidil yang berjanji untuk bertemu anak mereka tetapi pemuda berkenaan gagal berbuat demikian.

“Dia tiada kesungguhan. Sebab itu saya malas untuk melayan mesejnya apatah lagi saya pernah mendapat mesej ‘jangan gatal’ seoalah-oleh ada pihak yang menganggap saya mahu mengganggu rumah tangga yang baru dibina Adil.

“Saya juga pernah membalas mesej-mesejnya mengenai anak tetapi saya terkejut kenapa dia masih menganggap tidak menerima sebarang balasan daripada saya,” ujar Rita.

Rita dan Aidil bernikah pada 25 Februari 2008 di Selatan Thailand dan disahkan bercerai talak satu pada 5 September 2013 iaitu selepas lima tahun berkahwin.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna, yang masing-masing berusia lima dan tiga tahun.

Aidil yang juga pemain bola sepak kebangsaan dan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) kemudiannya bernikah dengan Zarema Zainal, 28, pada 14 Mac lalu. -mStar