KOTA BHARU - Ketua kumpulan pengganas India yang dikatakan kini berada
di Thailand dipercayai mempunyai perancangan untuk menyusup masuk ke
Malaysia.
Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Rosli Abdul
Rahman berdasarkan maklumat dan risikan oleh Polis Diraja Malaysia
(PDRM) berhubung pergerakan penjenayah terbabit, Jagtar Singh Tara.
“Jagtar berasal dari Pakistan dan namanya tersenarai dalam Red Alert
Interpol kerana dikehendaki berikutan insiden pengeboman di Punjab yang
menyebabkan 18 terbunuh,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, laporan dari pihak negara jiran, Thailand juga mendapati
penjenayah terbabit masih bersembunyi di negara mereka dan merancang
untuk masuk ke negara ini.
Rosli berkata, pihak polis akan menahan Jagtar sekiranya dia dijumpai
dan penjenayah berkenaan akan disiasat oleh PDRM terlebih dahulu sebelum
tindakan selanjutnya dilakukan.