Selalu memandang enteng hal seumpama ini, akhirnya pihak Suruhanjaya
Syarikat Malaysia (SSM) bakal mengadakan pemantauan secara serius di
laman-laman sosial bagi menjejaki para peniaga yang menjual secara
online yang tidak memaparkan nama dan nombor pendaftaran syarikat.
Ini rentetan daripada penggunaan Peraturan Peniaga Dalam Talian yang telah dimaklumkan sejak Julai 2013 yang lepas.
Namun dilihat kebanyakkan peniaga-peniaga online masih lagi tidak
ambil endah hingga kerajaan akhirnya perlu bertindak dan memberi
penekanan terhadap hal ini.
Menerusi sebuah notis yang dipaparkan E-Commerce Milo, pihak SSM
telah memulakan proses pemantauan kepada beberapa peniaga di Facebook
bagi memaparkan nama syarikat dan nombor pendaftaran syarikat.
Sebelum ini, rata-rata peniaga online menyangka peraturan yang
dikuatkuasa adalah dikhususkan kepada web semata-mata namun ternyata
silap kerana kesemua peniaga berasaskan dalam talian dikehendaki
mengikuti peraturan ini.
Pihak SSM turut memaklumkan bagi peniaga yang masih lagi tidak
mengikuti peraturan yang ditetapkan bakal dikenakan caj penalti sehingga
RM5000.
Walaubagaimanapun, jika ada peniaga online yang hanya berniaga secara
kecil-kecilan atau merupakan sebuah syarikat kecil boleh mendaftarkan
syarikat di SSM dengan harga RM60 setahun bagi mengelakkan tindakan
undang-undang dan penalti dikenakan.
Makanya, beringatlah kesemua peniaga online termasuk Facebook dan
Instagram kerana anda diwajibkan untuk memaparkan nama syarikat dan
nombor pendaftaran syarikat sebelum dikenakan apa-apa tindakan.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Tak gitu? -Mynewshub.cc