Aziz Bari Tak Takut Akta Hasutan

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari langsung tidak gentar sekiranya didakwa di bawah Akta Hasutan dan menegaskan bahawa dia hanya menjawab soalan yang dikemukakan dalam sebuah forum berhubung isu kemelut Menteri Besar Selangor.

Kata Abdul Aziz, dia telah dihubungi pihak berkuasa yang mengarahkannya untuk hadir ke Balai Polis Sabak Bernam bagi membantu siasatan pada jam 11 pagi hari ini untuk direkodkan keterangan.

Dilaporkan bahawa hampir 100 laporan polis telah dibuat terhadap bekas pensyarah pro-Pakatan Rakyat itu yang dikatakan menghina dan memperlekeh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebelum ini.

Dalam sebuah laporan yang disiarkan Malaysian Insider bertajuk "Sultan Selangor terikat Deklarasi 1992, perlu lantik Wan Azizah, kata Aziz Bari", dia menjelaskan bahawa Sultan Selangor perlu akur pada calon pilihan Pakatan Rakyat Selangor, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, untuk dilantik sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang digulingkan.

Selain itu, Abdul Aziz juga menegaskan bahawa Sultan Selangor perlu melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar disebabkan terikat dengan Deklarasi 1992.

Pada tahun 2011 pula, profesor yang dijulang sebagai "pakar perlembagaan" oleh Pakatan Rakyat itu pernah mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu serbuan kontroversi Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) yang disifatkannya "luar biasa dan tidak konsisten".

Kritikan-kritikan Abdul Aziz itu dilihat sebagai menghina dan memperlekeh institusi DiRaja sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat di negara ini ekoran kenyataannya yang lebih disifatkan kurang ajar serta "tidak berlapik". -KedahNews.com