KOTA BHARU - Tiada lebih
bermakna buat Azizul Raheem Awalludin dan isteri Shalwati Norshal kerana
dapat menyambut Aidiladha bersama anak-anak setelah mengalami peristiwa
hitam di Sweden sebelum ini.
Azizul Raheem mengumpamakan sambutan Aidiladha kali ini seperti
menyambut kelahiran seorang anak setelah terpisah daripada keluarganya
selama sembilan bulan 13 hari setelah ditahan di negara itu.
"Tempoh itu seperti seorang ibu mengandungkan anak dan tepatlah Aidiladha ini sungguh bermakna, ibarat menunggu kelahiran anak.
"Aidiladha ini sangat berbeza setelah melalui pengalaman sukar selama
tempoh itu sehingga anak-anak dan isteri berpisah dan kini kami bersatu
semula," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, Ahad.
Kali terakhir mereka menyambut Aidiladha bersama di kampung ialah empat tahun lalu sebelum mereka ke Stockholm.
Empat anak mereka iaitu Aisyah, 15, Ammar, 13, Adam, 12, dan Arif, 8,
turut gembira dapat menyambut Aidiladha bersama di kampung kali ini.
Menceritakan pengalaman menyambut Aidilfitri bersendirian di Sweden
pada Julai lalu, Shalwati berkata beliau hanya bertakbir berseorangan di
dalam penjara dan makan sandwic bersama coklat panas sebagai juadah.
Azizul dan Shalwati bersmaa keluarga menikmati juadah hari raya di meja makan. |
"Aidilftri di sana disambut sehari lebih awal dari di Malaysia.
Selepas hari raya, saya terus buat puasa enam, 20 jam sehari. Namun hari
ini sangat menggembirakan kami sekeluarga kerana dapat bertemu semula,"
katanya.
Aisyah pula berkata: "Terlalu gembira, rasa semuanya kembali
lengkap". Pada 28 Mac lepas, Mahkamah Daerah Solna di Stockholm
menjatuhi hukuman penjara 10 bulan terhadap Azizul Raheem dan 14 bulan
ke atas Shalwati atas kesalahan mengasari anak-anak mereka.
Bagaimanapun hukuman itu dikurangkan apabila masing-masing hanya
perlu menjalani dua pertiga daripada jumlah hukuman yang dikenakan
sebelum itu.
Azizul Raheem dibebaskan pada 9 Julai lalu selepas selesai menjalani
hukuman penjara dan sempat menyambut Aidilfitri bersama anak-anaknya di
sini.
Shalwati pula dibebaskan pada 29 September dan kembali ke tanah air Rabu lalu. -mStar