Azmin Masih Tercari-Cari Jawapan Pesta Arak?

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali hanya akan memutuskan tentang Pesta Arak, Festival Oktoberfest, anjuran Carlsberg Malaysia selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor dalam tempoh terdekat.

Meskipun menerima banyak bantahan dari pelbagai pihak termasuk rakan sekutunya, PAS, keputusan mengenai festival berasaskan minuman memabukkan itu difahamkan perlu dibincangkan terlebih dahulu di dalam mesyuarat berkenaan.

"Sesiapa sahaja dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan sensitif kerana kita hidup dalam negara pelbagai kaum dan budaya," jelas Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, yang dipetik dari mStar.

Menurut Mohd Jaafar, papan iklan yang mempromosikan pesta arak itu juga tidak pernah diberi kelulusan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri dibawah tadbir Pakatan Rakyat itu.

Namun, meskipun tanpa sebarang kelulusan, iklan pesta arak itu tetap terpampang di sekitar Selangor.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sebelum ini menegaskan bahawa pesta arak itu tidak wajar disekat memandangkan negeri itu mempunyai kepelbagaian bangsa dan agama, selain menghormati hak antara satu sama lain untuk menganjurkan festival seumpamanya.

PAS yang sememangnya menghadapi hubungan dingin dengan DAP dan PKR awal-awal lagi menyerang pesta tersebut melalui beberapa pemimpinnya yang vokal membantah penganjuran festival berkenaan.

Bagaimanapun, Azmin yang baru dilantik menjadi Menteri Besar masih tidak dapat memberi jawapan mutlak mengenainya sehingga laporan ini ditulis. -KedahNews.com