Azmin Pertahan Anwar: Kekal Penasihat Ekonomi, Kembalikan Pejabat, Namun Tak Jelas Isu RM1

Menteri Besar Selangor yang baharu, Azmin Ali, menegaskan bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi menjawat jawatan Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri, walaupun pejabat bagi jawatan tersebut ditutup oleh Menteri Besar yang lama.

Kata Azmin, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya menutup pejabat Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri dan bukannya memecat Anwar yang menjawat jawatan tersebut.

"Kita telah meneliti minit mesyuarat Exco yang lalu, apa yang diputuskan oleh Tan Sri Khalid ialah untuk menutup pejabat Penasihat Ekonomi.

"Jadi, tidak timbul soal pemecatan penasihat ekonomi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri di sini, semalam.

Menurut Azmin lagi, Anwar akan diberikan segala kemudahan yang diperoleh sebelum ini bagi memudahkannya memainkan peranan sebaga Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, termasuk sebuah ruang pejabat yang baru setelah pejabat lamanya ditutup.

"Sekarang kita akan bincang semula fungsi dan peranan penasihat ekonomi untuk membantu pembangunan ekonomi di Selangor.

"Sudah tentu kita akan memberikan kemudahan-kemudahan termasuk pejabat sesuai dengan peranan yang akan dimainkan," katanya.

Bagaimanapun, Azmin tidak menjelaskan tentang sama ada gaji Anwar yang difahamkan berjumlah RM1 serta peruntukan elaun Penasihat Ekonomi itu akan dikaji semula bersesuaian dengan jawatan yang disandangnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor, Faekah Husin sebelum ini mengumumkan penutupan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor berkuat kuasa serta-merta bagi menjimatkan kos pentadbiran Kerajaan Negeri.

Kata Faekah, pelbagai kontroversi tercetus berhubung gaji yang diterima oleh Anwar, peranan dan sama ada sumbangan beliau kepada Kerajaan Negeri Selangor sesuai dengan jawatan yang disandang tersebut. -KedahNews.com