Alor Setar - Persatuan Nelayan Kedah menyambut baik kenaikan elaun
sara hidup nelayan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2015 hari ini.
Pengerusinya Ahmad Rudin Hussin berkata, kenaikan elaun tersebut
dapat mengurangkan beban pengurangan subsidi diesel yang diumumkan oleh
kerajaan baru-baru ini.
Katanya, kenaikan elaun itu juga dapat membantu nelayan untuk
berbelanja terutamanya ketika musim tengkujuh dan untuk menangani kos
sara hidup yang semakin meningkat.
Beliau berkata, ini menunjukkan keprihatinan perdana menteri (PM) yang menyelami kesusahan nelayan dan mahu mensejahterakan nelayan dengan bantuan yang disalurkan.
Beliau berkata, ini menunjukkan keprihatinan perdana menteri (PM) yang menyelami kesusahan nelayan dan mahu mensejahterakan nelayan dengan bantuan yang disalurkan.
"Terima kasih kepada PM dan kerajaan yang tidak ketinggalan dalam setiap bajet yang dibentangkan. Diharap kerajaan terus membantu nelayan yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap," katanya.
Najib dalam pembentangan bajet itu berkata, elaun sara hidup nelayan Zon A akan naik daripada RM200 kepada RM300 sebulan manakala bagi nelayan Zon B dan C akan naik kepada RM250.
Perdana menteri turut mengumumkan nelayan darat sepenuh masa juga akan diberi elaun RM200 sebulan.
Di Kedah, lebih 10,000 nelayan bakal menerima kenaikan elaun tersebut.
Sementara itu, Ahmad Rudin berkata, kerajaan juga perlu memberi peruntukan tambahan bagi membantu nelayan seperti membina benteng penahanan ombak dan mendalamkan muara kuala bagi mengelak berlaku kesesakan bot nelayan yang keluar masuk. - Bernama