Banjir: 568 Lokasi Risiko Di Kedah Dipantau Bomba

ALOR SETAR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah membuat persiapan rapi dari segi logistik dan keanggotaan bagi memantau 568 kawasan berisiko banjir ekoran hujan tidak menentu di negeri ini.

Pengarahnya, Ahmad Shahabuddin berkata pihaknya menyediakan Pelan Tindakan Kontigensi Bencana Banjir untuk dijadikan panduan dan rujukan bagi menghadapi fenomena itu dan mekanisme tindakan bencana banjir juga dilaksanakan bagi memastikan tindakan operasi dapat dilaksanakan dengan terancang.

“Kita juga memantau semua aset dan kelengkapan supaya berada dalam keadaan terbaik untuk digunakan semasa operasi nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan JBPM Negeri Kedah di sini hari ini.

Katanya antara daerah yang dikenal pasti berisiko banjir ialah Langkawi (43 kawasan), Kubang Pasu (149), Sik (33), Bandar Baharu (22), Pendang (85), Yan (27), Kulim (24), Baling (97), Kota Setar (23), Padang Terap (22), Kuala Muda (37) dan Pokok Sena (6).

Ahmad berkata selain peralatan, pasukan khas seperti Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm), Pasukan Kemahiran Pelbagai (Must) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku semasa operasi banjir nanti.

“Kita juga menyiapsediakan 26 anggota PPDA, tujuh anggota Storm dan 26 anggota Must dan boleh dikerahkan bertugas pada bila-bila masa yang diperlukan.

“Selain itu, kita telah menambah 10 unit bot aluminium oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Sehingga kini JBPM Kedah mempunyai 58 unit jenis pengangkutan air iaitu bot aluminium besar (14), bot aluminium kecil (18), bot gentian kaca (6), bot kevlar (2), bot getah (1), jet ski (6), bot penyelamat (1) dan bot MKN12F V shape (10),” katanya.

Katanya dari segi persediaan anggota pula, kesemua 717 anggota bomba di seluruh negeri telah diberi latihan dan penerangan secukupnya berkaitan aktiviti menyelamat serta memindahkan mangsa yang terjejas. – BERNAMA