JAKARTA - Selebriti seksi dan sensasi Julia Perez tetap
nekad mendapatkan anak melalui proses tabung uji dan tanpa pernikahan
walaupun cadangannya itu ditentang keras Majlis Ulama Indonesia (MUI).
Kata penyanyi berusia 34 tahun itu, dia bertanggungjawab sepenuhnya atas rancangan hamil melalui proses persenyawaan di luar rahim itu.
Justeru, kata Julia, MUI dan orang ramai diminta bertenang.
“MUI harap bertenang, orang ramai juga diminta bertenang. Saya sudah maklumkan sebelum ini bahawa saya bertanggungjawab penuh atas sebarang kesan daripada keputusan ini,” katanya.
Julia kini sedang solo selepas berpisah dengan pemain bola sepak kelahiran Argentina dan kini mewakili kelab Pelita Bandung Raya, Gaston Castano, 29.
Disebabkan mengidam memiliki anak, Julia dilaporkan menyimpan benihnya di sebuah hospital di Pulau Pinang dan menunggu masa disenyawakan dengan sprema penderma yang tidak didedahkan identitinya.
Kata Julia, orang ramai perlu sedar bahawa dia berada di negara yang memiliki undang-undang.
“Saya pula muslimah yang belajar undang-undang. Jadi, semua pihak dinasihat bertenang,” katanya.
Menurut Julia, cadangan mendapatkan anak melalui tabung uji dibuat selepas mendapat nasihat doktor pakar.
"Rahim saya sukar mendapat anak selepas berusia 30 tahun. Justeru kata doktor saya harus hamil sekarang," katanya.
Julia dijadual berangkat ke Pulau Pinang esok (9 Oktober). -mStar