Bekas Editor "Suara Keadilan" Mengaku Siar Fitnah, Mohon Maaf Pada Felda

Bekas editor laman portal berita rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan, mengaku menyebarkan berita fitnah dan palsu bertujuan untuk memburuk-burukkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH).

Dzulkarnain Taib dalam kenyataan, kesal dengan tindakan portal berita PKR itu yang sengaja disiarkan bagi memperkecil dan menjejaskan reputasi Felda dan FGVH melalui sebuah artikel bertajuk "Felda Bankrap".

Memohon maaf secara terbuka dan menarik balik artikel tersebut tanpa syarat, Dzulkarnain menjelaskan bahawa dia pada asalnya mencadangkan supaya tajuk laporan berkenaan disiarkan dalam bentuk persoalan dan bukannya pernyataan.

Katanya, tajuk yang berbentuk pernyataan boleh dirujuk sebagai fitnah dan memberi amaran tentang berkemungkinan Suara Keadilan akan disaman.

Namun Dzulkarnain mendedahkan bahawa pihak atasan PKR dan penerbit akhbar tersebut enggan menerima cadangannya serta tetap berkeras mahu menggunakan tajuk berkenaan dengan niat mahu menjejaskan reputasi Felda dan FGVH yang terletak di bawah kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sebagai editor Suara Keadilan pada masa itu, saya menyarankan tajuk utama itu harus dikemukakan sebagai persoalan dan menasihatkan bahawa pernyataan sedemikian boleh menyebabkan saman fitnah.

"Bagaimanapun pihak atasan PKR, penerbit akhbar Suara Keadilan berkeras untuk meneruskan dengan tajuk utama itu (Felda Bankrap) dengan niat untuk membuat kerosakan maksimum terhadap reputasi plaintif-plaintif," katanya yang dipetik dari Bernama, semalam.

Pada 16 Ogos 2010, Felda dan anak syarikatnya memfailkan saman terhadap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Senator Dr Syed Husin Ali yang ketika itu Naib Presiden PKR, Dzulkarnain dan penulis artikel itu Rusnizam Mahat atas dakwaan menyiarkan dua artikel yang memfitnah Felda dalam Suara Keadilan.

Felda mendakwa artikel yang disiarkan pada 22 dan 29 Jun 2010 bertajuk "Felda Bankrap' dan artikel berserta gambar bertajuk 'Kontroversi" dan "Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu" menjejaskan imej mereka.

Bagaimanapun, sumber menjelaskan bahawa saman terhadap isteri Ketua Pembangkang, Wan Azizah, Syed Husin dan Rusnizam masih diteruskan di Mahkamah Tinggi. -KedahNews.com