Betapa Jauhnya Kita Dari Al-Quran... Astaghfirulahil'azim...


Al-Quran adalah pedoman hidup kaum muslimin. Tiada keraguan akan kemuliaan dan kebenaran isi kandungannya. Ia adalah hak yang diyakini.

Namun, mengapa Al-Quran begitu jauh dari umat Islam sekarang? ‘Pedoman hidup’, ‘petunjuk sepanjang zaman ‘ dan ‘cahaya yang menerangi kehidupan’ hanya tinggal slogan-slogan yang tidak bermakna. Pemikiran, peradaban, norma dan tujuan hidup umat Islam, tidak ubah seperti mereka yang tidak beriman. Al-Quran bukan lagi pembeda antara mukminin dan musyrikin.

Keadaan ini berpunca dari sikap umat Islam terhadap Al-Quran itu sendiri. Al-Quran dihiasi dengan kesenian huruf-hurufnya (khat),tetapi diabaikan hududnya (sempadan). Al-Quran kini berseri-seri, berwarnani-warni, tetapi hilang intipatinya. Setiap rumah pasti ada bukannya senaskah, tetapi beberapa. Namun, belum pasti tiada kemungkaran di rumah-rumah yang sama.

Bacaan Al-Quran amat lunak pada zaman sekarang. Apabila dibaca, hukum tajwid amat diteliti, dari makhraj hingga ke taranumnya. Qari-qari menjadi sanjungan. Pertandingan tilawah dianjur besar-besaran. Tetapi sayang, tauladan dan pengajaran Al-Quran dipinggirkan. Tinggallah Al-Quran menjadi gurindam merdu yang puitis liriknya.

Apabila isi kandungan Al-Quran dibahaskan, fokus perbincangan tertumpu kepada zaman dan tempat ia diturunkan. Maka, terpisahlah Al-Quran dari pengkajinya dari aspek geografi dan masa. Al-Quran menjadi wahyu untuk orang Arab, pada kurun ketujuh masihi sahaja.

Sarjana-sarjana yang cuba menafsir Al-Quran mengikut perkembangan semasa sering menerima tuduhan dan cemuhan. Sesat dan sebagainya. Ini menimbulkan seribu satu keraguan kepada ummah. Ketakutan ini membuatkan ummah berbalik kepada tafsiran-tafsiran terdahulu yang lebih sesuai kepada moyang-moyang mereka.

Cerdik-pandai pula hanya asyik menghasilkan thesis dan kertas kerja. Kebanyakkan mereka ingin bergelar doktor dan professor. Tempat mereka bukan lagi di pondok-pondok. Mereka berkumpul di institusi-institusi yang canggih dan selesa. Tiada sedikit pun manafaat dari Al-Quran kepada ummah yang dizahirkan dari persidangan-persidangan mereka.

Tidak hairanlah jika Al-Quran mendapat perhatian yang dingin sekarang. Yang menyedihkan adalah apabila Al-Quran digantikan dengan falsafah kontemporari. Prinsip-prinsip motivasi  dijadikan panduan. Tanpa disedari, umat Islam semakin jauh dari Allah SWT kerana tiada iman atau tauhid pada teori-teori ini.

Pada hakikatnya, Al-Quran tidak lagi menjadi pegangan ummah. Penolakkan Al-Quran sudah hampir mutlak. Yang tinggal hanyalah ekspresi-ekspresi seni dan gurindam-gurindam merdu. Itulah nilai Al-Quran masa kini. Wallahu a’lam. 

-Dr Azlie F Rahman