NEW YORK – Tidak disangka-sangka, Presiden Amerika Syarikat (AS),
Barack Obama sendiri berhadapan saat memalukan yang biasanya berlaku
kepada orang kebanyakan.
Sebaik selesai menikmati hidangan makan malam, tiba-tiba kad
kreditnya bermasalah hingga menyebabkan kad miliknya itu tidak diterima
semasa mahu membuat pembayaran di sebuah restoran di sini.
Kejadian berlaku selepas beliau bersama isterinya, Michelle. Mereka
berada di sini bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Saya rasa tidak menggunakan kad kredit itu melebihi hadnya, jadi
mereka (kakitangan restoran) anggap telah berlaku penipuan. Mujur,
Michelle membawa kad kreditnya.
“Saya juga cuba jelaskan kepada pelayan itu bahawa saya tidak
mempunyai tunggakan bayaran,” katanya yang menceritakan detik itu semasa
berucap pada mesyuarat kewangan di sini baru-baru ini menyebabkan
hadirin ketawa.
Walaupun Obama tidak mendedahkan lokasi restoran itu, namun beliau
dilihat menikmati makan malam dengan isterinya di sebuah restoran yang
menawarkan hidangan gaya Sepanyol di Estela, Manhattan pada bulan lalu.
Pasangan itu menikmati hidangan burrata (krim keju), roti, sos hijau
serta salad dan tomato, namun harga makanan tersebut tidak dinyatakan.
Berikutan kejadian itu, Obama berkata, beliau telah mengarahkan
syarikat kewangan meningkatkan ciri-ciri keselamatan kad kredit termasuk
penggunaan cip untuk menggantikan jalur magnetik. - mStar