Pendakwah terkenal, Ustaz Kazim Elias memberi amaran kepada semua pihak agar tidak tertipu dengan sebuah laman blog, Lavendermummy(dot)blogspot, yang memaparkan sebuah iklan bertajuk "Sertai Kembara Raikan Jodoh Dalam Pelayaran Star Cruise Pada Februari 2015", baru-baru ini.
Menurut admin laman facebook Ustaz Kazim, tiada sebarang program dibincangkan atau perjanjian sebagaimana yang diwar-warkan di laman blog tersebut, sekaligus menegaskan bahawa maklumat tersebut adalah palsu.
"Hati hati dengan laman web lavender mummy
blogspot yg memaparkan iklan pengembaraan Cruise bersama Ustaz Kazim.
TIADA sebarang perbincangan atau perjanjian bersama pihak tersebut," kata admin yang dipetik dari akaun laman fanpage Facebook Ustaz Kazim itu.
Menurutnya lagi, pendakwa itu turut akan membuat laporan polis terhadap blog bergenre "pengiklanan" tersebut.
"Ustaz Kazim akan membuat laporan polis terhadap blogger terbabit," tegas admin itu lagi.
Dalam tinjauan KedahNews.com ke laman blog itu, didapati entry blog yang memaparkan iklan tidak benar itu telah tiada, dipercayai telah ditarik balik oleh blogger berkenaan.
Mungkin menyedari kesilapan dan khuatir dengan "laporan polis" yang bakal dilakukan Ustaz Kazim, blogger berkenaan bertindak menarik balik entry iklan program tidak benar itu.
KedahNewsc.com menyarankan agar blogger berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada pendakwah kesayangan ramai itu dan menyatakan kekesalan mereka atas apa yang berlaku selain berjanji untuk sedaya upaya tidak mengulangi kesilapan seumpamanya.
Bagi pihak Ustaz Kazim pula, mungkin atas rasa ukhuwwah sesama umat Islam dan sifat kemanusiaan yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan, sudi memaafkan blogger itu sekiranya dia memohon maaf serta mengakui kesilapannya, bukan?
Buang yang keruh, ambil yang jernih. Lagipun, bukankah Islam menganjurkan umatnya supaya berani mengaku kesilapan,meminta maaf dan sedia memaafkan khususnya kepada saudara sesama Islam? Wallahu'alam. -KedahNews.com