Jakarta - Walaupun menyambut Aidiladha sehari lebih awal, pengikut
Muhammadiyah diminta tetap menghargai perbezaan dengan warga Nahdlatul
Ulama dan keputusan kerajaan Indonesia.
Ketika menyampaikan khutbahnya, khatib Wisman Yusar berkata,
perbezaan meraikan Aidiladha berlaku kerana pendekatan yang berlainan
antara kumpulan Muhammadiyah dengan yang lain.
“Justeru janganlah perbezaan ini membawa kepada perpecahan dalam masyarakat.
“Perbezaan ini sering berlaku dan ia hanya membabitkan aspek pendapat.
“Ia masih boleh disatukan,” katanya selepas selesai solat sunat Aidiladha di Kebayoran Baru, Jakarta Selatan, semalam.
Beberapa ratus pengikut Muhammadiyah mula berkumpul di padang berhampiran kawasan petempatan kira-kira jam 6.30 pagi (waktu tempatan) sebelum solat didirikan 30 minit kemudian.
WANITA Filipina merakam gambar kakaknya yang berdoa di masjid selepas mendirikan solat Aidiladha di Masjid Biru di Taguig City, selatan Manila semalam. |
Tinjauan media mendapati jemaah terdiri daripada orang dewasa, remaja dan kanak-kanak.
Walaupun solat Aidiladha diadakan di situ, penduduk setempat yang lain terus menjalankan aktiviti harian seperti biasa.
Muhammadiyah dianggap pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia selepas Nahdatul Ulama (NU).
Menjelaskan nasihat itu, Wisman memberikan contoh bagaimana tokoh utama Nahdatul Ulama, K H Idham Cholid dan Muhammadiyah, Hamka, pernah bergiliran menjadi imam dalam perjalanan ke Makkah.
“Pada satu hari K H Idham menjadi imam dan pada hari lain Hamka pula menjadi imam.
“Ketika K H Idham menjadi imam, dia tak melakukan doa qunut yang biasa dilakukan warga NU kerana ada Buya Hamka sebagai makmumnya.
“Begitu juga sebaliknya ketika Buya Hamka menjadi imam, dia menggunakan doa qunut kerana menghormati K H Idham yang menjadi makmumnya,” katanya, semalam. - Agensi