Kuala Lumpur - Lelaki dikenali sebagai Ah Hai yang menjadi saksi penting polis dan dipercayai sasaran utama pihak yang bertanggungjawab meledakkan bom tangan dalam kejadian di depan kelab malam di Sun Complex, Bukit Bintang, Khamis lalu sudah tampil memberi keterangan, semalam.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa yang memberitahu lelaki terbabit yang tidak cedera hadir ke balai polis untuk memberi keterangan pada jam 9 malam sehingga 11.45 malam tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, sehingga kini dua orang masih dirawat di hospital manakala 10 orang sudah dibenarkan pulang.
Menurutnya, polis sudah merakam percakapan 17 saksi dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di tempat kejadian dan sekitar laluan itu bagi mengesan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian ini.
"Mereka yang cedera atau mengalami kerosakan harta benda semasa kejadian itu yang masih belum membuat laporan polis dinasihatkan tampil membuat laporan berhubung kejadian itu," katanya. -myMetro