Bom Meletup Di Bukit Bintang: PDRM Berjaya Matikan Salah Satu Bom

Sebutir bom tangan yang digunakan dalam insiden letupan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, telah berjaya dimatikan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam kejadian yang menggemparkan seluruh negara awal pagi tadi.

Menurut pihak berkuasa itu, sebanyak dua butir bom tangan telah dilempar pada sebuah pusat hiburan di situ, namun salah satu darinya tidak meletup dan telah dimatikan oleh Unit Pemusnah Bom PDRM.

"Suspek dipercayai membalingkan bom dari tingkat atas bangunan. Satu daripada bom itu meletup di hadapan kelab malam. Satu lagi tidak meletup dan berada di bawah kereta Toyota Camry, yang terletak berhadapan kelab malam tersebut," jelas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa.

Dalam kejadian letupan yang berlaku kira-kira jam 4.30 pagi tadi,  seorang mangsa maut manakala 13 lagi dilaporkan cedera akibat insiden tersebut dan telah dikejarkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur dan Hospital Tung Shin.

Selain dari lelaki yang berkerja sebagai joki di kelab malam itu dilaporkan maut, dua lagi mangsa dikatakan berada dalam situasi kritikal di hospital.

Difahamkan bahawa mangsa terdiri daripada tujuh warga tempatan, empat dari China, seorang rakyat Thailand serta seorang dari Singapura.

Khairi turut menjelaskan bahawa insiden tersebut disyaki berpunca dari pergaduhan yang melibatkan kumpulan-kumpulan gengster yang bersarang di ibu negara.

"Ketika kejadian, sebahagian mangsa mahu menaiki sebuah kereta Toyota Vellfire apabila satu bahan letupan jatuh ke arah mereka dari tingkat dua bangunan itu.

"Mangsa-mangsa merupakan pelanggan pub dan penghuni di hotel-hotel berdekatan.

"Sebuah kereta Toyota Camry, Mazda dan BMW turut rosak dalam letupan itu," kata Khairi menjelaskan fakta kejadian yang dipetik dari mStar, sebentar tadi. -KedahNews.com