Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor, Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin digantung keahlian parti selama setahun berkuat kuasa serta merta hari ini.
Adun Morib, Saari dan rakannya, Adun Hulu Kelang, Hasnul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman tersebut oleh PAS yang bersidang sebentar tadi.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali walau bagaimanapun berkata, kedua-dua Adun itu dibenarkan untuk mengemukakan rayuan mereka dalam tempoh 15 hari dari tarikh dijatuhkan hukuman.
Saari dan Hasnul sebelum ini disifatkan sebagai pengkhianat PAS apabila bertindak membelakangkan keputusan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berhubung calon Menteri Besar Selangor.
Mereka dikatakan lebih taat pada kepimpinan PKR dan DAP berhubung isu tersebut dengan memberi sokongan padu kepada isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.
Ekoran itu, kedua Adun berkenaan dilabel sebagai "broker" dan "barua" oleh Abdul Hadi yang disokong oleh golongan pro-ulama di dalam PAS. -KedahNews.com