Dalam era politik masa kini, segelintir pihak mencuba pelbagai cara
untuk menarik sokongan orang ramai hingga sanggup membuat tafsiran salah
kepada ayat-ayat suci Al-Quran.
Ada sekumpulan manusia yang berpayungkan perjuangan pembangkang
dikesan membuat tafsiran salah melibatkan Surah Al-Kaafiruun yang
menjurus kepada perbezaan orang Islam dan orang Kafir diterjemahkan
mengikut fahaman politik dari segi parti dan perjuangan.
Surah dengan enam ayat itu menjelaskan tentang tekad umat Islam untuk
tidak mengikut apa yang disembah oleh orang kafir dan tidak mengikut
apa yang dipercayai oleh mereka.
Laman sosial Facebook menjadi medan penyebaran tafsiran salah ini, dengan menjurus perbezaan antara ahli bukan UMNO dan ahli UMNO.
Menurut laman Facebook yang jelas tidak berpihak kepada UMNO itu :-
“Katakanlah wahai kaum Muslimin!!
“Hai orang-orang UMNO! Kami tidak akan menyokong dasar yang
kamu dokong dan kamu tidak mahu sokong dasar Islam yang kami dokong..
dan kami tidak akan bersubahat atas apa yang kamu buat.. dan kamu pula
tidak mahu laksanakan atas apa yang Islam perintahkan.. Bagi kamu jalan
kamu dan bagi kami jalan kami,” menurut laman Facebook itu.
Perbuatan keji ini jelas menghina ayat Al-Quran yang sebenarnya
menjelaskan tentang perbezaan fahaman AGAMA dan bukan fahaman
POLITIK dalam kalangan umat Islam.
Tuduhan bahawa UMNO tidak menyokong Islam seperti didakwa dalam
posting berkenaan juga memperlihatkan fitnah apabila UMNO memberikan
perhatian kepada agama Islam begitu utama sesuai dengan keadaannya di
dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Agama Persekutuan.
Peruntukan agama Islam di dalam Perlembagaan membolehkan kerajaan
menguruskan pembangunan dan hal ehwal Islam secara langsung melalui
kerajaan, bukan seperti negara-negara lain yang tidak meletakkan agama
dalam perlembagaan mereka.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Senator Datuk Dr
Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu forum di Pengkalan Kubor, Kelantan pada
20 September lepas berkata peruntukan itu membolehkan Malaysia melakukan
apa yang diperlukan berkaitan Islam dengan menggunakan peruntukan
kerajaan persekutuan kepada negeri-negeri di seluruh negara.
Dr Asyraf mengambil contoh negara Turki, yang biarpun majoriti
penduduknya beragama Islam tetapi di dalam Perlembagaan Turki
tiada peruntukan agama hinggakan satu masa dahulu Turki diisytiharkan di
dalam Perlembagaannya sebagai negara sekular.
Menurut beliau, negara sekular bermaksud kerajaan dan Islam tidak diletakkan di dalam satu sistem pentadbiran tetapi diasingkan.
Sumber: Mynewshub.cc