LONDON - Anggota Parlimen Britain semalam mengundi dengan
keputusan majoriti mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, dalam
satu usul yang tidak terikat, dan penuh dengan simbolik, namun keputusan
itu tidak akan mengubah polisi kerajaan berhubung isu tersebut.
Usul itu disokong oleh 274 anggota Parlimen dan hanya 12 yang
menentang untuk 'mengiktiraf Palestin bersama Israel sebagai sebuah
negara, sebagai satu sumbangan mereka untuk memuktamadkan rundingan
kepada penyelesaian pembentukan dua negara'.
Perdebatan hangat di Dewan Rendah Parlimen itu disaksikan penduduk
seluruh dunia dan mungkin memberi kesan diplomatik serta mengukuhkan
kempen oleh pihak berkuasa Palestin untuk mendapat pengiktirafan sebagai
sebuah negara.
Tindakan itu dibuat selepas kerajaan Sweden mengumumkan ia akan
mengiktiraf negara Palestin, sekali gus menjadi negara Kesatuan Eropah
(EU) pertama di Eropah Barat berbuat demikian sehingga membangkitkan
kemarahan Israel.
Bagaimanapun, kerajaan Britain tidak terikat untuk membuat keputusan
ke atas usul itu yang dimulakan oleh kumpulan penyokong pembangkang
daripada Parti Buruh dan hanya mahu mengiktiraf negara Palestin pada
masa yang sesuai.
"Aspirasi rakyat Palestin tidak boleh direalisasikan sepenuhnya
sehingga ada penyelesaian kepada penjajahan ini dan kami percaya
penubuhan (negara Palestin) itu hanya perlu dicapai menerusi proses
rundingan.
"Hanya penamatan kepada pencerobohan akan memastikan negara Palestin
akan menjadi satu kenyataan dan United Kingdom secara dua hala
mengiktiraf sebuah negara Palestin apabila kami menilai bahawa ia adalah
bantuan terbaik yang dapat membawa keamanan,'' kata Menteri Asia Barat,
Tobias Ellwood.
Perdana Menteri Britain David Cameron dalam pada itu mengelak
daripada mengundi bersama anggota kerajaan lain yang menyokong langkah
penyelesaian dua negara.
Anggota Parti Buruh yang mengemukakan usul itu, Grahame Morris
berhujah bahawa pengiktirafan sebuah negara Palestin boleh menghidupkan
semula rundingan damai dengan Israel yang terhenti sebelum ini.
Sebelum perbahasan bermula, sejumlah penunjuk perasaan berhimpun
dalam hujan lebat di luat bangunan Parlimen sambil membawa sepanduk yang
menyokong penubuhan negara Palestin. - AFP